Berita

Air Selangor tukar paip ikut keutamaan – DBKL

DBKL akan mengatasi kejadian tanah mendap di Kuala Lumpur. -Gambar hiasan.
- Diterbit 6 Disember 2019 10:27 AM MYT

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan memastikan kejadian mendapan jalan yang berlaku di beberapa kawasan sekitar ibu negara diatasi sepenuhnya menerusi perbincangan bersama pihak utiliti.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, pada 12 Disember lalu, pihaknya telah berbincang dengan kesemua pengusaha utiliti tentang kerangka kerja bagi membolehkan pemaju projek pada masa hadapan mengetahui isi kandungan di bawah tanah.

“Pihak utiliti khususnya Air Selangor memaklumkan mereka sedang meyediakan dan mengkaji pemetaan laluan air di bawah tanah.

NOR HISHAM

“Saya difahamkan kebanyakan paip dibuat sebelum perang dunia kedua, oleh itu mereka perlu melakukan pengubah suaian mengikut jadual prioriti,” katanya.

Menurut Nor Hisham, kerangka yang dibincangkan perlu siap sebelum Januari 2020 dan ia akan disemak semula supaya pemaju projek akan datang tahu apa yang berada di bawah tanah.

Mengulas tentang keadaan semasa kawasan mendapan, beliau memberitahu, pembaikan jalan mendap telah dilakukan dan kawasan terlibat boleh dilalui kecuali Jalan Kuching.

Jelas beliau, ia kerana terdapat air mata air di bawah jalan berkenaan dan usaha untuk mengatasinya sedang dijalankan.

Difahamkan, Syarikat Air Selangor mempunyai paip air sepanjang 28,000 kilo­meter (km) yang mana semuanya perlu ditukar dan sedang dijadualkan.

Bagaimanapun, penukaran hanya mampu dilakukan dalam jarak 150 hingga 200 km setahun.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas