Berita

Dataran Labuan 2.3 juta, tampil imej baharu

DATARAN Labuan yang menampilkan imej baharu mula dikunjungi oleh warga di pulau ini untuk meluangkan masa bersama keluarga.
- Diterbit 17 Mac 2023 11:07 AM MYT

DATARAN Labuan yang terletak di bandar utama Pulau Bebas Cukai kini telah siap sepenuhnya selepas projek naik taraf bernilai RM2.3 juta itu mula dibuka kepada warga wilayah dengan berwajah baharu.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan (PL), Rithuan Mohd Ismail berkata projek naik taraf dataran sejak 2021 itu melibatkan kerja-kerja naik taraf permukaan lantai, pencahayaan di Monumen Chimney dan landskap.

RITHUAN (enam dari kanan) bersama pihak kontraktor dan kakitangan PL merakamkan gambar selepas tinjauan di Dataran Labuan baru-baru ini.

Kata beliau, pihaknya juga akan menaik taraf semula bangunan astaka di dataran itu dan pancutan air dalam waktu terdekat bergantung kepada peruntukan yang ada.

“Dengan siapnya projek naik taraf Dataran Labuan ini, kita telah pun mula buka kepada orang awam bermula Khamis (9 Mac) dan saya berharap pengunjung khususnya warga pulau ini menghargai dan memanfaatkan kemudahan sedia ada,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan ke Dataran Labuan, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Rithuan turut menegaskan kepada orang awam agar tidak melakukan sebarang aktiviti vandalisme yang akan mencacatkan keindahan kawasan itu dan menimbulkan kesulitan kepada banyak pihak termasuklah warga di pulau ini.

“Kita harus bersama-sama menjaga dataran ini sebagai salah satu tempat beriadah khususnya pada hujung minggu dan sekali gus dapat menjaga imej Labuan yang bersih dan indah,” katanya.

Rithuan turut memaklumkan pihaknya akan mempertimbangkan penyediaan kemudahan tambahan lain seperti surau dan tempat berwuduk kepada pengunjung menjelang bulan Ramadan tidak lama lagi.

“Seperti kita sedia maklum, dataran ini merupakan kawasan pilihan warga di pulau ini bagi berbuka puasa bersama keluarga setiap kali bulan Ramadan. Oleh itu, kita akan mempertimbangkan kemudahan tambahan itu bagi memudahkan orang awam,” katanya lagi. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas