Berita

Cukai taksiran Fasa 2 di Putrajaya dikurangkan bermula 1 Julai

PENGURANGAN tersebut adalah selaras dengan hasrat Kerajaan Perpaduan bagi mengurangkan beban rakyat.
- Diterbit 17 Mac 2023 12:00 PM MYT

KERAJAAN bersetuju memberikan pengurangan cukai taksiran Fasa 2 di Putrajaya sebanyak lima peratus kepada pemilik kediaman strata (selain rumah mampu milik) dan 20 peratus bagi pemilik kediaman teres bermula 1 Julai ini.

ANWAR

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pengurangan itu diberikan kepada kediaman yang siap dibina selepas 2017 dan potongan akan diberikan kepada jumlah cukai taksiran yang dikenakan.

Beliau berkata pemberian pengurangan cukai itu melibatkan hampir 2,700 unit kediaman strata dan teres yang siap dibina selepas 2017 dan diberikan sehingga penilaian semula oleh Perbadanan Putrajaya.

“Saya ambil peduli keluhan daripada pemilik harta selain rumah mampu milik di Putrajaya bahawa cukai taksiran yang dikenakan ke atas premis kediaman mereka agak tinggi berbanding kawasan sekitarnya,” katanya dalam satu kenyataan media baru-baru ini.

Tambah beliau, pengurangan itu juga selaras dengan aspirasi Malaysia Madani melalui elemen ihsan yang seterusnya dapat dipanjangkan kepada ruang lingkup lebih luas bagi mengurangkan beban penduduk dalam mendepani kos sara hidup terutama golongan M40 yang memiliki kediaman strata dan teres di Putrajaya.

Terdahulu, semua kediaman berharga di bawah RM300,000 di Putrajaya telah diberikan potongan sebanyak 30 peratus daripada jumlah cukai taksiran yang dikenakan berkuat kuasa 1 Januari lepas sehingga penilaian semula oleh Perbadanan Putrajaya. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas