Berita

Covid-19: Seorang lagi peserta ijtimak tabligh maut

Terdapat 123 kes baharu dilaporkan hari ini, jumlah keseluruhan 1,306
- Diterbit 22 Mac 2020 10:36 AM MYT

PUTRAJAYA – Seorang lagi mangsa korban wabak Covid-19 direkodkan Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini, kematian ke-10 direkodkan dalam tempoh kurang daripada 5 jam.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, selepas kes kematian kesembilan pada pukul 10.33 pagi tadi, Malaysia digemparkan dengan kematian ke-10 pada pukul 4.05 petang tadi.

“Mangsa merupakan seorang lelaki tempatan berumur 74 tahun dari kluster tabligh. Dia dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang pada 13 Mac dan diberikan bantuan alat pernafasan sebelum meninggal dunia.

“Bagaimanapun, KKM turut merekodkan 25 kes pulih dan dibenarkan keluar hospital hari ini. Jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya adalah 139 kes,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Noor Hisham turut memaklumkan bahawa terdapat 123 kes baharu dilaporkan dan ia menjadikan jumlah kes positif Covid19 meningkat kepada 1,306. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas