Berita

56 anggota ATM bantu kawalan di Labuan

MUHAMAD FARID dan Shamsudin (dua dari kiri) memberikan taklimat kepada anggota ATM yang digerakkan bagi membantu PDRM membuat kawalan dalam sekatan jalan raya di Bandar Labuan hari ini.
- Diterbit 22 Mac 2020 10:07 AM MYT

LABUAN – Seramai 56 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ditugaskan bagi membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan sekatan jalan raya dan pemantauan di sekitar pulau ini ekoran penularan wabak Covid – 19.

Ketua Polis Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, bantuan ATM itu diharap dapat menyedarkan masyarakat berhubung kepentingan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

 

Menurutnya, seramai 354 anggota polis turut ditugaskan selain penambahan dari ATM menjadikan keseluruhan yang dikerahkan seramai 400 anggota.

“15 pasukan akan memantau di kawasan bandar dan luar bandar. Kita hanya mempunyai baki sembilan hari sahaja lagi untuk melaksanakan PKP.

“Kami minta orang ramai terus mematuhi arahan PKP sehingga 31 Mac ini,” katanya ketika ditemui pada operasi sekatan jalan raya bersama ATM di kawasan bandar Labuan hari ini.

Turut hadir Panglima Wilayah Udara 2, Mejar Jeneral Shamsudin Kasim.

Dalam pada itu, Farid berkata, sekatan jalan raya akan beroperasi selama 24 jam di tiga lokasi sekatan di bandar ini dan luar bandar bagi memastikan pergerakan orang awam dapat dihadkan. – WILAYAHKU

ANGGOTA ATM membuat pemeriksaan ke atas seorang penunggang motosikal dalam satu sekatan jalan raya di Bandar Labuan hari ini.
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas