Berita

Jakim Tubuh Pasukan Khas Pengurusan Jenazah Covid-19

Ihsan JAKIM
- Diterbit 22 Mac 2020 11:17 AM MYT

PUTRAJAYA – Berikutan wabak Covid-19 yang melanda negara dan peningkatan jumlah kematian yang dilaporkan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mempersiapkan pasukan khas pengurusan jenazah sebagai langkah siap siaga.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jakim, Hakimah Mohd. Yusoff berkata, pasukan yang ditubuhkan sejak wabak tersebut melanda negara diberi taklimat dan penerangan mengenai kaedah pengurusan jenazah secara khas berpandukan pandangan hukum yang diputuskan Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) pada 15 Mac lalu.

Jelas beliau MKI bersetuju supaya pengurusan jenazah mangsa Covid-19 mengguna pakai keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI Kali ke-107, bertarikh 10 hingga 11 Februari 2015 mengenai Hukum Pengurusan Jenazah Orang Islam yang disyaki atau disahkan dijangkiti Virus Ebola (Ebola Virus Diseases: EVD) di negara ini.

“Pandangan ini juga mendapat perkenan Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Seramai 18 orang petugas khas pengurusan jenazah diarahkan bersiap sedia. Mereka terdiri daripada pegawai dari Jakim, Masjid-masjid Utama di bawah Jakim Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) iaitu 12 lelaki dan 5 perempuan serta seorang penyelaras,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas