Berita

Covid-19: Segambut, Seputeh dan Bukit Bintang kekal kawasan tertinggi di WP

KES jangkitan di Menara City One yang kini di bawah PKPD menyumbang kepada peningkatan kes di Parlimen Bukit Bintang.
- Diterbit 6 April 2020 10:30 AM MYT

PUTRAJAYA – Wilayah Persekutuan terus mencatatkan peningkatan kes positif Covid-19 dengan jumlah keseluruhan kes sebanyak 659 kes sehingga semalam.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr. Annuar Musa berkata, pecahan kes telah dilakukan mengikut taburan Parlimen bagi memberikan gambaran sebenar kepada orang ramai tentang sesuatu kawasan.

“Parlimen Batu terdapat pertambahan 6 kes baharu menjadikan 26 kes, Parlimen Kepong terdapat 12 kes, Parlimen Segambut berlaku penambahan satu kes menjadikan 60 kes dan Parlimen Bukit Bintang bertambah 8 menjadikan 45 kes.

“Selain itu, Parlimen Lembah Pantai terdapat 27 kes, Parlimen Seputeh catat 318 kes kerana Masjid Jamek Seri Petaling terletak dalam kawasan itu,” katanya dalam sesi live di Facebooknya hari ini.

Siaran live tersebut juga dilakukan melalui Facebook Kementerian Wilayah Persekutuan dan Wilayahku.

Annuar berkata, Parlimen Setiawangsa bertambah tiga kes baru menjadikan 22 kes, Parlimen Titiwangsa (37), Parlimen Cheras mencatatkan penambahan dua kes baru menjadikan 11 kes manakala Parlimen Bandar Tun Razak telah dicatatkan tiga kes baharu menjadikan 34 kes.

Katanya, Parlimen Putrajaya bertambah satu kes menjadikan 37 kes.

Jelas Annuar, angka itu berbeza dengan sempadan pentadbiran kesihatan melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) seperti yang dilaksanakan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Jumlah kes keseluruhan adalah 659 kes dengan tambahan 25 kes baharu, 170 kes sembuh dan dibenar keluar hospital manakan 477 masih dirawat dan sembilan kematian,” ujarnya.

Annuar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Wilayah Persekutuan berkata, beliau meletakkan usaha untuk mengekang penularan Covid-19 sebagai keutamaan yang tinggi.

“Menara One City yang terletak di Jalan Munshi Abdullah telah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD).

“Tindakan tersebut diambil kerana telah berlaku peningkatan mendadak dan perlu dikawal dengan tegas.

“Sehingga semalam, kawasan itu telah mencatatkan kira-kira 25 kes positif Covid-19 walaupun terletak di lokaliti yang kecil dan hanya sebuah menara terlibat,” katanya.

Annuar memberitahu, beliau akan turut membantu kepada kesemua penghuni yang terlibat agar kebajikan mereka dapat dijaga di dalam tempoh PKPD.

“Walaupun 97 peratus penduduk di situ merupakan warga asing, sekiranya melibatkan penyakit dan soal nyawa, menjadi tanggungjawab kerajaan untuk melaksanakan yang terbaik.

Annuar turut menyeru kepada warga kota agar memberi perhatian dan kerjasama kepada petugas barisan hadapan.

“Mereka mesti mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan agar tidak berlaku peningkatan jangkitan Covid-19 dalam kalangan warga kota,” katanya.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas