Berita

Covid-19: 236 pesakit pulih, dibenar keluar wad

DR NOOR HISHAM (tengah) menunjukkan poster 236 pesakit Covid-19 berjaya discaj hari ini. GAMBAR UKK KKM
- Diterbit 6 April 2020 10:48 AM MYT

PUTRAJAYA – Jumlah pesakit Covid-19 yang pulih semakin meningkat dengan terbaru seramai 236 dibenarkan keluar hospital menjadikan 1,241 pesakit pulih sepenuhnya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sehingga pukul 12 tengah hari tadi, 131 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan dan menjadikan jumlah keseluruhan 3,793 kes.

“Terdapat satu kes kematian baharu dilaporkan membabitkan lelaki tempatan berusia 67 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi.

“Mangsa mempunyai sejarah kontak rapat dengan beberapa kes indeks positif Covid-19 daripada perhimpunan di Seri Petaling iaitu kes ke-1265, kes 1266, kes 1267, kes 1404 dan kes 2549.

“Mangsa dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu pada 29 Mac lalu dan disahkan meninggal dunia semalam pukul 10.22 pagi,” katanya.

Berikutan itu, 62 kematian akibat Covid-19 direkodkan di negara ini.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, seramai 102 pesakit sedang dirawat di unit rawatan rapi dengan 54 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas