Atlet Wilayah

COVID-19 bukan alasan goyang kaki

ERRY konsisten dengan latihan di MSN. ERRY konsisten dengan latihan di MSN.
- Diterbit 18 Julai 2021 9:08 AM MYT

BIARPUN negara masih berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) namun atlet angkat berat perlu sentiasa fokus berlatih bagi mengekalkan prestasi.

Mengakui perkara yang sama, atlet angkat berat negara, Muhammad Erry Hidayat, 22, berkata, situasi yang berlaku saat ini seharusnya menjadi pembakar semangat untuk kejayaan di masa hadapan.

“Atlet angkat berat perlu sentiasa berfikiran positif dan jangan tinggalkan latihan kerana bukan mudah nak dapatkan kembali angkatan yang berjaya kita buat,” ujarnya yang kini sedang menjalani latihan menggunakan pendekatan kuarantin (quarantine based approach) di Kompleks MSN Bukit Jalil.

Dia yang sebelum ini melakukan sesi latihan secara persendirian di rumah pernah menggunakan besi lama untuk tetap mengekalkan prestasi diri.

“Walaupun tiada peralatan yang lengkap di rumah namun itu bukanlah alasan untuk tidak berlatih. Tambahan pula pihak Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) ada menyediakan modul latihan yang lengkap,” ujarnya.

Mengakui turut berasa kecewa kerana tidak dapat menyertai sebarang kejohanan namun atlet Wilayah Persekutuan ini tetap ceria mendepani hari mendatang.

“Semua orang merasakan hal yang sama, ingin hidup bebas seperti sediakala namun dalam keadaan seperti ini kita perlu sama sama menyahut seruan kerajaan untuk kekal berada di rumah.

“Lihat apa yang berlaku dari pelbagai sudut misalnya ketika inilah kita punya banyak masa untuk diluangkan bersama keluarga berbanding sebelum ini,” ujar pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) ini.

Katanya lagi, sepatutnya dia akan beraksi dalam kejohanan Sukan SEA 2021 yang dijadualkan bermula hujung November ini namun terpaksa ditunda ke tahun depan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas