Berita

Asian Supply Base sumbang 500 bakul makanan kepada penduduk terjejas

JAPAR (dua dari kiri) menyerahkan bakul makanan sebagai simbolik bantuan kepada Pengarah JKM Ansharey (dua dari kanan) disaksikan oleh Datuk Rozman (hujung kiri) dan Datuk Bashir (hujung kanan) di Dewan
- Diterbit 18 Julai 2021 9:18 AM MYT

ATAS keprihatinan kepada masyarakat di Pulau Bebas Cukai yang terkesan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Satu, Syarikat Asian Supply Base Sdn Bdn tampil menyumbangkan sebanyak 500 bakul makanan yang membabitkan sejumlah RM25,000.

Ketua Pegawai Eksekutif Asian Supply Base, Japar  Esteban berkata, sumbangan itu merupakan salah satu usaha dan tanggungjawab pihaknya sebagai salah sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Labuan dalam membantu pihak kerajaan khususnya Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Labuan untuk membantu masyarakat yang terjejas pada tempoh ini.

“Ini merupakan satu tanggungjawab sosial korparat (CSR) bagi membantu masyarakat yang terjejas akibat COVID-19,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Labuan Ansharey Matarsad di sini, pada Isnin.

Hadir sama, Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli dan Ahli Dewan Negara merangkap Pengerusi Majlis Penasihat Perbadanan Labuan, Senator Datuk Bashir Alias.

500 bakul makanan yang disumbangkan oleh Asian Supply Base Sdn Bdn dan diagihkan oleh JKM kepada penduduk yang terjejas.

Menurut Japar, pihaknya telah menyalurkan sebanyak 500 bakul makanan kepada JKM dibawah Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) untuk diselaraskan serta diagihkan kepada mereka yang terjejas.

“Sumbangan ini membabitkan jumlah keseluruhan bernilai RM25,000 dan barangan di bakul makanan itu adalah minyak masak, gula, telur, beras dan sebagainya yang mana setiap bakul dianggarkan bernilai RM50,” katanya.

Justeru itu, Asian Supply Base berharap dengan bantuan yang disumbangkan itu dapat serba sedikit meringankan beban masyarakat yang terkesan ketika pandemik COVID-19 melanda negara. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas