Berita

Grab bantu ibu tunggal jana pendapatan, urus anak-anak

TUGASAN menghantar makanan menjadi kerjaya Nazleen sepenuh masa.
- Diterbit 18 Julai 2021 8:57 AM MYT

WAKTU kerja yang fleksibel mendorong ibu tunggal kepada tiga orang anak, menyertai pasukan penghantar makanan di bawah kelolaan Grab Malaysia.

Ini kerana, kata Nazleen Zulkiflee, pekerjaan sebelumnya sebagai pengendali makanan, menyukarkannya meluangkan masa bersama anak-anak yang berusia 9 hingga 14 tahun.

“Pendapatan juga kurang memuaskan. Banyak yang perlu saya sekat untuk meneruskan hari-hari mendatang.

“Disebabkan itu, saya menyertai Grab kerana saya tertarik dengan waktu kerjanya yang sangat fleksibel dan memudahkan saya untuk menguruskan anak-anak.

“Kebetulan, saya juga sangat suka menaiki motosikal. Dari segi kewangan pula, Grab sangat membantu,” katanya kepada Wilayahku.

Menurut Nazleen lagi, dorongan daripada rakan-rakan menyebabkannya lebih terbuka dan positif untuk terus menyertai pasukan penghantar makanan secara sepenuh masa.

Grab Malaysia
NAZLEEN berpeluang meluangkan
masa bersama anak-anaknya selepas
menyertai pasukan penghantar makanan
Grab.

Mengulas tentang keadaan semasa yang semakin getir ini, ujarnya, sejak menjadikan Grab sebagai mata pencarian, kehidupannya lebih terurus dan mempunyai masa bersama anak-anak.

“Kehidupan lebih terurus khususnya masa bersama dengan anak-anak kerana waktu kerja Grab sangat fleksibel. Kewangan saya juga berubah daripada dulu,” ujarnya gembira,

Ekoran itu, Nazleen menggalakkan anak muda terutama lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau individu yang belum mempunyai pekerjaan dan terjejas pendapatan untuk menceburi kerjaya yang ditawarkan Grab Malaysia.

“Saya sangat menyokong sesiapa yang terjejas pendapatan untuk cuba menceburi Grab kerana ia telah berjaya mengubah kewangan dan kehidupan saya.

“Saya juga boleh merancang jadual sendiri supaya saya dapat menjaga anak-anak sambil menjana pendapatan,” jelasnya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas