Berita

COVID-19: 100 kes baharu dilaporkan di Singapura, dua kes import

MAMPUKAH '3S'dikawal? - Gambar hiasan
- Diterbit 19 Ogos 2020 4:28 AM MYT

SEBANYAK 100 kes COVID-19 baharu dilaporkan di Singapura dalam tempoh 24 jam lepas dengan dua daripadanya kes import, menjadikan jumlah terkini kes jangkitan penyakit itu menjangkau kepada angka 55,938.

Menurut data ringkas yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Singapura hari ini, kedua-dua kes import itu telah dikenakan Notis Tinggal Di Rumah sebaik tiba di Singapura.

Berdasarkan kepada siasatan setakat ini, kementerian itu berkata terdapat satu kes dalam komuniti yang melibatkan seorang warga Singapura.

Sementara itu kebanyakan kes yang dilaporkan melibatkan pemegang permit kerja yang kini menjalani kuarantin.

Dalam data penuh yang dikeluarkan lewat Isnin, kementerian itu berkata terdapat kira-kira 18,600 pekerja yang masih menjalani tempoh kuarantin setakat ini.

Sehingga tengah hari semalam, negara republik itu mengklasifikasikan 812 daripada kes yang dilaporkan sebagai kes import, 2,206 sebagai kes komuniti dan 52,820 kes melibatkan penghuni asrama.

Sejumlah 52,350 pesakit, atau kira-kira 94 peratus daripada jumlah kes keseluruhan, telahpun pulih dari jangkitan, dan dibenarkan keluar dari hospital atau kemudahan penjagaan komuniti.

Sementara itu 82 kes yang disahkan kini masih sedang menerima rawatan di hospital, namun tiada yang dimasukkan ke unit rawatan intensif.

Sejumlah 3,379 pesakit yang mengalami simpton ringan, atau sihat secara klinikal namun masih disahkan positif COVID-19, telah diasingkan dan dijaga oleh kemudahan penjagaan komuniti.

Sehingga kini 27 orang telah meninggal dunia akibat komplikasi COVID-19 di Singapura.

Ketika ini semasa tiada kluster baharu dikesan, dan tiga lagi kluster telah ditutup. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas