Berita

Peranan India tangani COVID-19 diiktiraf, kata Pesuruhjaya Tinggi

Indian High Commissioner to Malaysia Mridul Kumar. – Bernama
- Diterbit 19 Ogos 2020 4:23 AM MYT

PERANAN India dalam memerangi COVID-19 global telah diakui dan dihargai secara meluas, kata Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia Mridul Kumar.

Mridul berkata ia terbukti apabila Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Keluarga India, Dr Harsh Vardhan, dipilih sebagai Ketua Lembaga Eksekutif Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk 2020-2021.

“India telah menghadapi cabaran COVID-19 secara langsung. India telah membekalkan ubat-ubatan penting kepada lebih 123 negara dan menubuhkan dana COVID-19 SAARC (Pertubuhan Kerjasama Serantau Asia Selatan).

“Daripada pengeluaran sifar Peralatan Perlindungan Diri (PPE) sebelum Mac 2020, hari ini kami mempunyai kapasiti untuk menghasilkan dua ratus ribu (200,000) kit PPE setiap hari, yang berkembang dengan stabil,” katanya dalam perutusan khasnya sempena Hari Kemerdekaan India ke-74 pada 15 Ogos.

Mengulas lebih lanjut, perutusan itu menyatakan di bawah kepemimpinan Perdana Menteri Narendra Modi, India yakin di sebalik krisis, ia akan mencetuskan destinasi pelaburan pilihan untuk sektor mineral, pertahanan, angkasa, tenaga atom, penerbangan awam, arang batu, dan pertanian.

Mridul berkata pada Mei 2020, Modi telah mengumumkan pakej ekonomi berjumlah US$265 bilion – kira-kira 10 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) India – bagi mengatasi impak ekonomi akibat krisis COVID-19, dan pakej itu disasarkan khusus untuk manfaat kumpulan yang paling teruk terjejas akibat pandemik – iaitu buruh, petani, perusahan mikro, kecil dan sederhana(PMKS) serta industri desa.

Beliau berkata memperkukuhkan industri desa dan PMKS – sektor yang menyediakan pekerjaan kepada jutaan rakyat India – adalah satu bidang tumpuan utama setelah berlakunya krisis.

Menurutnya pengumuman pinjaman automatik tanpa jaminan sebanyak tiga triliun Rupiah India (US$40.26 bilion) untuk perniagaan termasuk PMKS, dan hutang subordinat 200 bilion Rupee India (US$2.68 bilion) untuk beberapa PMKS adalah beberapa tumpuan utama bagi sektor PMKS.

Beliau berkata kerajaan India juga telah melaksanakan beberapa reformasi dasar penting di sektor-sektor utama untuk memudahkan pelabur swasta dan asing selepas COVID-19, termasuk pengenalan kepada perlombongan komersial dan meningkatkan penyertaan sektor swasta dalam sektor mineral.

Suruhanjaya Tinggi India di Kuala Lumpur pada 15 Ogos menyambut Hari Kemerdekaan ke-74 republik itu – dengan mematuhi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan Prosedur Operasi Standard – berikutan COVID-19 di Malaysia.

Sempena sambutan itu juga satu pertandingan debat maya antara pelajar Global Indian International School (GIIS) dan Vikas International School turut diadakan. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas