Selera

Cocktail Fruity tular raih sambutan luar biasa

PELANGGAN boleh mencedok dan memilih buah-buahan yang tersedia mengikut pilihan dan cita rasa sendiri.
- Diterbit 19 November 2022 5:17 AM MYT

PENIAGA minuman Cocktail Fruity yang tular di laman sosial TikTok baru-baru ini, Shatila Abd Halim mengakui sambutan yang diterima luar jangkaan sehinggakan saban hari pelanggannya sanggup menunggu lebih awal untuk mendapatkan koktel tersebut.

Lebih menarik, gerai koktel buah-buahan yang terletak di Jalan Dwi Tasik 2, Bandar Sri Permaisuri, Cheras ini turut menerima pelanggan dari negeri lain termasuk Sabah dan Sarawak selain pelancong luar negara.

Berharga RM12 sebekas, Cocktail Fruity menyediakan 17 jenis pilihan buah-buahan segar seperti buah naga; mangga; kiwi; anggur; epal; longan dan banyak lagi.

“Kami menggunakan konsep cedok yang mana buah-buahan dipotong dalam saiz lebih kecil. Pelanggan boleh mencedok sendiri buah-buah itu mengikut pilihan masing-masing sehingga bekas penuh.

“Pelanggan juga boleh memilih satu atau dua buah sahaja tapi kami cadangkan untuk campurkan kesemua buah yang ada dan letakkan sedikit ais bersama susu kerana ia lebih sedap diminum terutama ketika masih sejuk,” jelasnya yang menggunakan susu premium kerana tidak terlalu manis dan mempunyai rasa lemak.

Istimewanya lagi, perniagaan yang diusahakan bersama suami, Hairul Fahmi Zainal Amberi menggunakan buah-buahan segar yang diambil terus daripada pembekal buah tempatan.

Baginya, kualiti dan kepuasan pelanggan menjadi keutamaan buat mereka. Justeru itu, kesemua buah tidak akan dipotong dalam kuantiti
banyak dan terlalu awal sebaliknya hanya akan dipotong dan ditambah apabila sudah habis.

“Kita menyarankan kepada pelanggan untuk tidak membiarkan buah-buahan tersebut direndam lama dengan susu kerana ia akan
menghilangkan rasa rangup dan manis buah tersebut.

“Kami amat mementingkan kepuasan pelanggan. Sekiranya ada yang memberi respons buah masam, tidak manis atau sebagainya, kami akan kurangkan buah tersebut dan memperbanyakkan buah yang disukai pelanggan.

Alhamdulillah kami menerima komen positif daripada pelanggan yang mengatakan kami tidak kedekut buah dan berpuas hati dengan harga dan kuantiti yang ditawarkan biarpun terpaksa beratur panjang,” ujarnya memberitahu rata-rata pelanggan yang datang akan membeli sekurang-kurangnya empat hingga lima bekas seorang.

Tambah Shatila, gerainya merupakan satu-satunya yang menjual koktel menggunakan konsep cedok. “Konsep itu digunakan kerana
ingin memberi kepuasan kepada pelanggan misalnya ada yang mengalami alahan atau tidak boleh makan sesuatu buah seperti epal atau kiwi, jadi mereka boleh memilih buah-buahan yang lain,” ujarnya.

LAKU 800 BEKAS SEHARI

SHATILA mengusahakan Cocktail Fruity bersama suaminya, Hairul Fahmi (kanan) sejak dua bulan lalu.

MELUAHKAN rasa bersyukur, Shatilla tidak menyangka tuah tular di TikTok membuatkan perniagaan koktel buah-buahan yang diusahakannya mampu terjual sebanyak 800 bekas sehari.

“Alhamdulillah, sehingga kini saya tidak menyangka ia akan menjadi tular dan orang ramai akan beratur panjang seperti itu. Saya
bersyukur dan ingin berterima kasih kepada pelanggan yang telah menularkan perniagaan kami.

“Diharapkan selepas ini perniagaan kami akan lebih berjaya dan orang ramai berpuas hati dengan kuantiti dan harga yang ditawarkan,” katanya yang belum merancang untuk memperluaskan perniagaan setakat ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas