Berita

MCMC promosi peranan PEDi menerusi Hari Bersama Komuniti

Alyas (tiga dari kiri) bergambar bersama Pegawai Polis yang mewakili ASP
- Diterbit 18 November 2022 2:00 AM MYT

PROGRAM Hari Bersama Komuniti Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) yang bertujuan mempromosikan perkhidmatan, peranan dan fungsi PEDi kepada komuniti setempat akan diadakan di semua negeri seluruh negara dalam siri Jelajah Hari Terbuka Komuniti PEDi.

Pengarah Negeri Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Wilayah Persekutuan, Alyas Roy Amir berkata program ini juga bertujuan untuk mendedahkan kepada masyarakat tentang penggunaan perkhidmatan yang ditawarkan PEDi.

“Program ini adalah antara inisiatif kerajaan dan agenda utama PEDi dalam membangunkan dan memperkasakan ekonomi rakyat melalui transformasi digital agar masyarakat di luar bandar dan kawasan miskin bandar khususnya boleh memperkasakan diri dalam kegiatan ekonomi serta menambah pendapatan mereka melalui aktiviti ekonomi secara digital.

“Pelaksanaan program ini juga dapat memperkenalkan kepada penduduk setempat yang terdiri daripada pelbagai lapisan umur terhadap program-program dan inisiatif yang ditawarkan PEDi termasuklah keusahawanan, ICT dan sebagainya,” katanya sejurus merasmikan Program Hari Bersama Komuniti Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) Peringkat Setiawangsa di Dataran Dewan PPR Seri Semarak, baru-baru ini.

Tambah Alyas, secara tidak langsung, program ini juga dijadikan sebagai platform untuk menyalurkan informasi penting berkaitan program dan inisiatif yang dilakukan kerajaan di bawah (MCMC) dan jabatan-jabatan serta mengetengahkan hak rakyat sebagai pengguna perkhidmatan telekomunikasi selain panduan dan nasihat bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa jenayah siber.

“Sehubungan itu saya menyeru dan menggalakkan seluruh rakyat ini khususnya warga Wilayah Persekutuan agar mendaftar sebagai ahli di mana-mana PEDi di seluruh negara dan seterusnya menikmati manfaat yang boleh diperolehi daripadanya,” katanya menjelaskan seramai 120 orang telah mendaftarkan diri sebagai ahli baharu PEDi ketika program dilaksanakan.  – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas