Artikel

Cegah Pedofilia: Bantu tangani jenayah seksual kanak-kanak

LILA RUZAINI
- Diterbit 23 November 2020 8:00 AM MYT

KESEDARAN dan pemahaman ibu bapa berkaitan pedofilia amat penting bagi menangani kes jenayah seksual melibatkan kanak-kanak daripada terus berlaku serta berleluasa dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Perkara ini perlu dilihat secara kritikal mencakupi segenap aspek memandangkan pelakunya cenderung menggunakan pelbagai muslihat bagi menjerat mangsa termasuk mengumpan hadiah, memujuk dan memperdaya kanak-kanak melalui media sosial demi memuaskan orientasi nafsu di luar batas kemanusiaan.

Berdasarkan takrifan, Pakar Seksologi University of Toronto, Kanada, Dr. Ray Blanchard, pedofilia adalah orientasi seksual seorang yang bernafsu terhadap kanak-kanak bawah umur 13 tahun dan kebanyakan pelakunya, golongan lelaki dewasa yang tertarik dengan kanak-kanak lelaki mahupun perempuan secara seksual.

Justeru, sebagai ibu bapa antara langkah yang boleh dilakukan untuk melindungi anak-anak daripada menjadi mangsa pedofilia adalah memahami dan menyedari tingkah laku seseorang terhadap kanak-kanak selain memantau aktiviti mereka di rumah mahupun laman sosial bagi mengelakkan anak-anak terdedah kepada perhatian pedofilia.

Menurut Presiden Helping Shoulder, Lila Ruzaini Mohd Hussain, kini sudah tiba masa setiap rakyat memahami apakah pedofilia, jenis dan perlakuan pemangsa serta kecenderungan seseorang dewasa menyukai kanak-kanak secara berlebihan hingga mempunyai imiginasi seksual terhadap si kecil.

Beliau berkata, pedofilia adalah sejenis penyakit mental dan merupakan satu jenayah terancang kerana kebanyakan pelaku mengenali mangsa dan merancang tipu daya menjerat kanak-kanak masih mentah hingga tidak mengetahui mereka telah menjadi mangsa.

“Apa yang membimbangkan, peningkatan kes ini makin ketara terutamanya di kawasan bandar besar berkepadatan penduduk tinggi di mana kawasan perumahan atau unit kediaman sempit namun penghuni ramai.

“Keadaan ini secara langsung menjadi pendorong jenayah pedofilia yang berkemungkinan pemangsa adalah saudara sendiri malah ada kes berlaku melibatkan bapa kandung memenuhi nafsu seksual terhadap kanak-kanak.

“Atas dasar ini kami (Helping Shoulder) selaku pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ditubuhkan tiga tahun lalu, memberi tumpuan khusus memupuk kesedaran dan pemahaman kepada masyarakat di kawasan perumahan awam mengenai bahaya ancaman pedofilia ,” katanya kepada Wilayahku.

PEDOFILIA DI BANDAR MENINGKAT

Sementara itu, dianggarkan tiga hingga lima kes pedofilia berlaku dalam sebulan terutamanya di bandar ketika ini, namun kata Lila Ruzaini, jumlah statistik dan proses pembuktian kes masih sukar, kerana kebanyakan keluarga mangsa mengambil pendirian untuk berdiam diri bagi menjaga nama baik keluarga.

Senario ini katanya, bakal mengundang musibah lebih besar kerana kalangan pemangsa pedofilia cenderung untuk menjadikan kanak-kanak lain sebagai mangsa yang berikutnya dan perlakuan seksual mereka amat sukar dihentikan.

“Selain kempen kesedaran, kami komited untuk memberi didikan kepada ibu bapa dan anak-anak supaya mereka lebih faham apakah itu salah laku jenayah seksual, selain dapat bertindak agresif mencegahnya berlaku,” katanya.

Dalam pada itu, kejadian penculikan yang berlaku melibatkan kanak-kanak juga dipercayai sesetengahnya melibatkan kes jenayah pedofilia.

Berdasarkan statistik pada tahun 2013, terdapat 4,998 kes individu dilaporkan hilang dan hanya 2,382 sahaja berjaya ditemui semula, di mana kebanyakan mangsa berusia 18 tahun ke bawah.

APLIKASI ‘MYCEMAS’

Sementara itu, Nabilah Mustafa, selaku Pengasas Sistem Amaran Kecemasan Mudah Alih Berpusat (MyCemas) berkata, aplikasi telefon pintar yang berasaskan platform android telah dibangunkan dengan usahasama Helping Shoulder untuk diguna oleh masyarakat ketika menghadapi kecemasan.

“Sistem MyCemas ini berfungsi sebagai butang panik sekiranya berlaku sebarang kes kecemasan seperti jenayah, sakit dan sebagainya. Pengguna hanya perlu menekan butang ‘power button’ tiga kali secara berterusan dan automatik sistem ini akan menghantar maklumat lokasi, kadar bateri serta rakaman bunyi sekitar kepada senarai kontaks.

“MyCemas bakal berfungsi sebagai hub amaran berpusat yang mampu mengatur apa jua bantuan kecemasan diperlukan pengguna selain merekod audio untuk rujukan tindakan,” katanya.

Berdasarkan perancangan, sistem MyCemas ini akan dilancar secara rasmi di pasaran pada tahun hadapan, bakal menjadi pelengkap kepada pusat panggilan kecemasan sedia ada.

APLIKASI MyCemas berfungsi seperti butang panik semasa berlaku kes kecemasan.
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas