Selebriti

Penceramah Bebas Disyaki Merogol, Kini Ditahan Polis

- Diterbit 26 November 2020 11:31 PM MYT

KECOH apabila seorang penceramah bebas yang berusia 25 tahun kini ditahan selepas disyaki merogol seorang wanita di kediamannya di Seksyen 7 di sini tahun lalu.

Menurut Laporan Kosmo, suspek lelaki yang juga pengacara itu ditangkap pada pukul 11 malam tadi selepas hadir memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, tangkapan suspek hasil laporan polis dilakukan mangsa berusia 23 tahun pukul 7.18 petang semalam.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa telah keluar dengan suspek yang baharu dikenalinya menerusi laman sosial Instagram yang bernama ‘DaiSyed_’ atau Syed Iqmal pukul 8 malam, 11 September tahun lalu menggunakan kereta jenis BMW milik lelaki itu.

Tujuan mereka keluar adalah untuk berbincang berkenaan masalah kemurungan yang dihadapi mangsa dengan kaedah perubatan Islam.

Setelah dibawa makan di Batu 3, Shah Alam, wanita itu dibawa ke kediaman suspek dengan alasan untuk memberikan penerangan bagaimana boleh keluar dari penyakit kemurungan.

Mangsa kemudiannya telah dirogol suspek dengan wanita itu tidak terdaya melawan.

Mangsa juga telah diberikan amaran agar merahsiakan kejadian itu sebelum dihantar pulang keesokan harinya menggunakan aplikasi e-hailing ke rumahnya di Subang Jaya.

Sebulan kemudiannya, mangsa pulang ke rumah keluarganya di Pahang telah menerima rawatan selama lima hari di wad psikitari Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh.

Sebelum itu, wanita tersebut yang mengalami tekanan perasaan yang teruk pernah  menerima rawatan psikitari di  Hospital Kajang pada 23 September tahun lalu.

Permohonan reman suspek akan dilakukan di Mahkamah Shah Alam pagi nanti dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan. 

Sumber: K!ONLINE (Kosmo!)

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas