Artikel

Bersihnya Labuan

DATARAN Wilayah Persekutuan Labuan. - Gambar hiasan
- Diterbit 2 Disember 2019 4:26 AM MYT

PELUANG untuk bekerja di luar kawasan atau negara, pastinya sangat dinanti-nantikan wartawan dan jurugambar. Mana tidaknya, itu sahaja peluang untuk pekerja tanpa waktu tetap dapat ‘melancong’. Walaupun dalam bebanan kerja, ia tetap menyeronokkan.

Kali ini, peluang yang dibuka adalah di Wilayah Persekutuan Labuan. Tempoh dua hari berada di pulau berkeluasan 92 kilometer persegi ini mesti dimanfaatkan sepenuhnya.

Bak kata pepatah ‘peluang hanya sekali’, jadi semestinya sebagai wartawan, pelbagai isu yang ada di Labuan akan dikorek dan dijadikan stok untuk dipaparkan dalam akhbar.

Berbaki satu hari yang turut dikenali sebagai waktu ‘santai’ iaitu selepas tujuan utama wartawan berada di luar kawasan, seluruh pelusuk Labuan dijelajah dengan khidmat bantuan ‘pemandu pelancong’ dari Perbadanan Labuan.

Dari selatan Labuan sehingga ke utaranya, apa yang menarik perhatian adalah kebersihan kawasan serta udaranya selain landskap matahari terbenam di Pantai Batu Manikar.

Kebersihan Pantai Layang-Layangan juga tidak dapat dinafikan sehingga dinamakan sebagai United Nations ’08 Beach. Pengiktirafan berkenaan diterima daripada United Nations Environment Programme (UNEP) pada 20 September 2008 atas kebersihan pantai berkenaan yang bebas daripada pencemaran.

Malah, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang diiringi Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bertitah, baginda kagum melihat kebersihan serta pembangunan yang dinikmati warga Labuan.

“Saya begitu kagum dengan pembangunan yang dinikmati warga Labuan. Begitu bersih, udara pun bersih, kereta pun tidak banyak dan saya percaya warga Labuan berada dalam keadaan sihat, badan yang cergas, minda yang cergas dan insyaAllah akan diberkati Allah,” titah Sultan Abdullah.

Titah baginda membuktikan yang wilayah kecil ini amatlah bersih. Lihat sahaja warna langitnya yang biru dan diserikan dengan tompokan awan nano berwarna putih.

Lebih menarik dan sentiasa dicemburui adalah kurangnya kenderaan. Tiada kesesakan lalu lintas di Labuan seperti di Kuala Lumpur atau Pulau Pinang atau waktu awal pagi dan petang di pusat-pusat bandar.

Sebagai wartawan, pastinya terdetik di hati untuk terus menetap di pulau kecil ini. Tambahan pula, penduduknya ramah mesra. Terkenang keramahan warga Patau-Patau Dua ketika melewati kampung itu, bukan hanya bersembang kosong, mereka turut menjamu pelbagai juadah sehingga ‘rombongan’ wartawan kenyang.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas