Agama

Bina negara Rahmah berteras maqasid syariah

||
- Diterbit 2 Disember 2019 4:31 AM MYT

Sebuah negara yang dirahmati Allah adalah menepati prinsip “Baldatun Tayyibatun Wa Rabbun Ghafur” iaitu sebuah negara gemilang yang bukan sahaja kaya dan maju, bahkan merupakan sebuah negara yang mendapat pengampunan daripada Allah SWT.

Ia juga merupakan negara yang dinamik dengan ciri-ciri asas yang tidak berubah iaitu berpandukan syariah.

Dalam masa sama, memperakui dan membenarkan peraturan yang ada demi memelihara kemaslahatan manusia selagi berada di bawah pengawasan dan pengiktirafan syariah.

Negara Rahmah berasaskan tiga teras utama iaitu Islam sebagai agama rahmat bagi sekalian alam yang membawa kemanan, kemakmuran dalam masyarakat; berteraskan maqasid syariah yang menekankan aspek penjagaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta serta tampil dengan model Malaysia yang sesuai dengan keadaan (waqi’), adat dan budaya bangsa Malaysia tanpa meninggalkan asas-asas Islam.

Buku bertajuk ‘Rahmatan Lil ‘Alamin Dalam Konteks Masyarakat Kontemporari’ ini menghimpunkan artikel penulis yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan kepakaran bagi membincangkan konsep Rahmatan lil ‘Alamin yang telah dipersetujui menjadi teras kepada pentadbiran Islam dalam Negara.

Kerajaan juga di dalam pembentangan B ajet 2020 telah mengumumkan peruntukan berjumlah RM10 juta bagi tujuan promosi dan pembudayaan maqasid syariah dan dasar Rahmatan lil ‘Alamin bermula pada tahun hadapan.

KULIT buku Rahmatan Lil ‘Alamin

Buku ini secara tuntasnya membincangkan hampir segenap perspektif berkaitan gagasan berkenaan di bawah tema-tema utama seperti Sumber dan Asas Konsep Rahmatan lil ‘Alamin, Pemangkin Kepada Kefahaman dan Manifestasi Rahmatan lil ‘Alamin dan Prinsip Utama Konsep Rahmatan lil ‘Alamin.

Perbahasan ini merangkumi konteks masyarakat kontemporari serta dimensi yang pelbagai termasuk usaha menanam kesedaran dari usia kanak kanak, penerapan dalam falsafah pendidikan, pengaplikasian dalam masyarakat majmuk, penghayatan dalam amalan kekeluargaan serta pengamalan dalam tadbir urus yang baik.

Dakwah

Usaha mengakarbumikan dan menterjemahkan nilai Rahmah dalam kehidupan masyarakat dapat dilaksanakan melalui pendekatan dakwah menyantuni ummah serta membudayakan keharmonian dalam masyarakat.

Ia juga dapat direalisasikan melalui pemerkasaan fungsi dan peranan institusi masjid sebagai pusat kegemilangan ummah dan keharmonian masyarakat melalui pelbagai bentuk inovasi dalam aktiviti pengimarahan di samping menjadi tempat untuk beribadah.

Inisiatif ini dapat dilaksanakan melalui merakyatkan fungsi masjid dengan mengambilkira keperluan anak kariah serta meraikan kepelbagaian latar belakang masyarakat di persekitaran.

Di samping itu, komitmen dan sokongan yang berterusan juga perlu diberikan terhadap pendekatan pendidikan, pencegahan dan pemulihan di samping aspek penguatkuasaan undang-undang syariah dalam kalangan ummat Islam ke arah mendaulatkan dan menjunjung tinggi syariat Islam.

Semua pihak juga bertanggungjawab menyebarluaskan pendekatan menyantuni ummah dalam hak-hak kehidupan dan beragama termasuk kelompok minoriti dalam masyarakat seperti golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dan golongan kurang berkemampuan agar dapat menikmati sifat rahmah ajaran Islam.

Info Rahmatan Lil ‘Alamin Dalam Konteks Masyarakat Kontemporari
Terbitan: IIUM Press dan MAIWP
Penulis: Shukran Abd. Rahman dan Haslina Ibrahim
Cetakan: pertama 2019

Mohd. Ajib Ismail merupakan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas