Berita

Beri penjelasan tentang permit kempen – Tommy

KENYATAAN Tommy.
- Diterbit 14 November 2019 10:31 AM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]

PUTRAJAYA – Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas menggesa penjelasan diberikan berhubung kontroversi yang berbangkit dari isu keperluan permit polis bagi tujuan kempen secara bergerak dan kempen dari rumah ke rumah oleh enam orang calon serta parti-parti mereka bagi tujuan pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai pada Sabtu ini.

Ini kerana, tegasnya, mengundi merupakan hak asasi yang jelas termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan malah terdapat 14 pilihan raya umum (PRU) selain ratusan PRK telah diadakan sejak 1955.

Ujarnya, tujuan pilihan raya berkenaan adalah bagi membolehkan para pengundi memilih ahli parlimen dan wakil rakyat mereka.

“Penjelasan wajar diberikan berhubung kontroversi yang berbangkit itu. Aktiviti berkempen bagi tujuan pilihan raya adalah penting di dalam sistem demokrasi berparlimen.

“Pengumuman yang dibuat oleh pihak polis berhubung keperluan permit polis adalah termaktub di dalam Seksyen 24B(3) Akta Kesalahan-Kesalahan Pilihanraya,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Tommy, dalam hal ini, peruntukan tersebut tidak merujuk secara jelas kepada kempen bergerak mahu pun kempen dari pintu ke pintu.

Namun jelasnya, sejarah membuktikan bahawa semenjak 1955, kaedah untuk meraih pengundi adalah yang paling popular digunakan oleh calon-calon dari kesemua parti politik dan tanpa perlu mendapatkan permit sedemikian.

PRK Parlimen Tanjung Piai menyaksikan pertandingan enam penjuru antara calon PH, Karmaine Sardini; calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng dan Wendy Subramaniam (GERAKAN).

Turut bertanding, Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Datuk Dr. Badhrulhisham Abdul Aziz dan dua calon Bebas iaitu pengasas pusat tuisyen, Dr. Ang Chuan Lock dan ahli perniagaan, Faridah Aryani Abd. Ghaffar.

Ia diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Dr. Md. Farid Md. Rafik, 42, dari PH pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Pada PRU-14, Allahyarham Dr. Md. Farid memenangi kerusi itu dengan majoriti 524 undi dalam pertandingan tiga penjuru.

PRK Tanjung Piai adalah PRK kesembilan diadakan sejak PH memenangi PRU-14 pada Mei tahun lalu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas