Berita

Probowo bertemu Mat Sabu, kukuhkan kerjasama pertahanan Malaysia-Indonesia

MOHAMAD bersalaman dengan Prabowo pada pertemuan dua hala dengan rakan sejawatannya di Wisma Pertahanan hari ini.
- Diterbit 14 November 2019 1:33 PM MYT

KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu menerima kunjungan daripada rakan sejawatannya dari Indonesia, Prabowo Subianto sempena lawatan rasmi dua hari beliau ke Malaysia hari ini.

Kunjungan itu merupakan lawatan rasmi pertama ke luar negara oleh Prabowo selepas dilantik sebagai Menteri Pertahanan pada 23 Oktober lalu.

Sempena lawatan rasmi itu, Mohamad telah mengadakan perbincangan dua hala bersama Prabowo dengan kedua-dua pihak mengesahkan komitmen untuk terus mempertingkatkan kerjasama pertahanan sedia ada bagi kepentingan bersama dalam mencapai keharmonian, kestabilan dan kemakmuran di rantau Asia Tenggara.

Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan berkata, semasa pertemuan tersebut, kedua-dua Menteri Pertahanan itu turut bertukar pandangan mengenai isu yang mempunyai kepentingan strategik dan operasi bagi kedua-dua negara.

“Landskap keselamatan global yang dinamik turut disentuh oleh kedua-dua menteri dan ancaman keselamatan bukan tradisional khususnya ancaman
keganasan menjadi fokus utama bagi kedua-dua pihak,” kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, Mohamad dan Prabowo memperakui bahawa lawatan rasmi hari ini mencerminkan hubungan pertahanan dua hala yang erat dan dinamik antara kedua-dua negara.

“Lawatan rasmi ini juga turut mengesahkan komitmen Indonesia kepada Malaysia sebagai rakan pertahanan utama di rantau ini.

“Kerjasama pertahanan antara Malaysia dan Indonesia terutamanya di antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tentera Nasional Indonesia (TNI) telah lama terjalin dan giat berkembang melalui Jawatankuasa Am Persempadanan yang telah ditubuhkan pada 1972.

“Hubungan pertahanan ini turut diperkukuhkan melalui beberapa inisiatif keselamatan sub-rantau seperti Malacca Straits Patrol (MSP) dan Trilateral Cooperative Arrangement (TCA) yang melibatkan Filipina,” katanya.

Hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia disifatkan sebagai satu hubungan yang rapat dan lawatan rasmi ini akan terus menyumbang kepada pengukuhan hubungan persahabatan antara kedua-dua negara. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas