Berita

Beli barangan tempatan langkah tepat

- Diterbit 8 Disember 2023 12:30 AM MYT

KEMPEN Beli Barangan Malaysia dilihat sebagai langkah bertepatan bagi mengimbangi tekanan globalisasi ekonomi sekali gus membantu pengusaha tempatan memasarkan produk selain ia penting dalam pembangunan ekonomi negara.

Menurut Penganalisis Ekonomi, Profesor Dr Abdul Rahim Abdul Samad, tekanan yang dihadapi oleh rakyat kesan dari cabaran ekonomi sekarang ini dapat dikurangkan seandainya rakyat membeli barangan buatan Malaysia.

ABDUL RAHIM

“Langkah kerajaan memperkasa kempen untuk membeli barangan tempatan merancakkan serta merangsang pertumbuhan ekonomi seterusnya memperkukuh perbelanjaan semasa.

“Namun, ia turut memerlukan usaha yang giat dengan menguar-uarkan kepada masyarakat tentang keberadaan barangan buatan Malaysia dan kualitinya yang setanding barangan import lain yang ada di pasaran. Kesedaran ini amat penting untuk menarik minat pembeli.

“Dalam masa yang sama, peningkatan dalam pembelian barangan tempatan ini juga dapat meningkatkan peluang pekerjaan kepada rakyat. Jadi, kadar pengangguran akan terus menurun dari semasa ke semasa,” ujarnya kepada Wilayahku.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata hasrat China untuk komited dalam meningkatkan jumlah import minyak sawit dan produk hiliran berasakan minyak tersebut antaranya derivatif termasuk tocotrienol yang merupakan vitamin E adalah satu perkembangan baik.

“Difahamkan dalam sesi pertemuan kedua-dua negara baru-baru ini, China juga mahu meningkatkan kerjasama daripada segi penyelidikan dan pembangunan minyak sawit di negara ini. Jalinan antara dua negara ini dapat mengukuhkan perdagangan antarabangsa. Jika dapat direalisasikan dalam masa yang terdekat, ia juga menyumbang kepada kestabilan nilai ringgit,” ujar beliau. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas