Berita

Kenaikan harga barang: Kerajaan tingkat keselesaan rakyat

BANTUAN tunai bantu rakyat mendepani kenaikan kos sara hidup
- Diterbit 8 Disember 2023 12:20 AM MYT

KERAJAAN Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat berada dalam landasan tepat untuk terus membawa kemajuan di negara berdasarkan kestabilan politik dan keamanan yang dikecapi dalam tempoh setahun.

Menurut Perdana Menteri, Kerajaan Perpaduan mempunyai pasukan yang mengutamakan kestabilan politik dengan berusaha memperkenalkan setiap dasar yang jelas untuk meningkatkan keselesaan rakyat dalam pelbagai aspek antaranya kualiti pendidikan, kesihatan dan bantuan terus kepada rakyat secara adil.

“Apa yang penting adalah keselesaan rakyat dan kerajaan komited membantu rakyat yang terkesan berikutan kenaikan harga barang.

“Kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah antaranya pelaksanaan subsidi bersasar dan meningkatkan Sumbangan Tunai Rahmah (STR),” katanya baru-baru ini.

Selain itu, Anwar mengakui kenaikan kos sara hidup sememangnya menjadi masalah namun menerusi usaha Payung Rahmah yang diperkenalkan ia dapat membantu rakyat, malah kerajaan berhasrat memperluaskan lagi inisiatif ke lebih banyak kawasan di seluruh negara.

“Kenaikan harga barang ini masalah yang sedang dihadapi seluruh dunia, sementara kita boleh kawal setakat yang sedaya kita,” katanya dalam wawancara khas Setahun Bersama Kerajaan MADANI: Tiwikrama Perdana Menteri terbitan TV3 baru-baru ini.

Perdana Menteri berkata kerajaan melihat bantuan tunai adalah lebih baik berbanding pemberian subsidi secara pukal yang turut dinikmati golongan terkaya yang mewakili 10 peratus daripada penduduk negara ini, selain kira-kira 3.5 juta warga asing.

Tambah Anwar, kerajaan merancang untuk meningkat nilai STR bagi membantu rakyat mendepani masalah kenaikan kos sara hidup.

“Kita bincangkan hampir setiap minggu di Jemaah Menteri, bincang secara teliti item yang dianggap mengesankan dari sudut kenaikan kos.

“Saya akui hal ini dan kita boleh redakan sedikit dengan yang dikatakan dengan cash transfer, bantuan tunai lebih baik daripada subsidi. Kerana kalau subsidi itu akan memanfaatkan jutaan (orang asing).

“Kita akan tingkatkan melihat kepada keupayaan kita, kalau kita dapat jimat RM10 bilion (melalui penyasaran subsidi) apa salah kalau RM3 bilion itu dipulangkan kepada rakyat,” katanya.

Kata Perdana Menteri, pelaksanaan subsidi bersasar mampu memberi suntikan dana bagi memberi faedah serta bantuan kepada rakyat yang memerlukan.

“Dengan penyasaran subsidi lebih banyak faedah yang kita beri suntikan, termasuklah seperti RM100 melalui inisiatif eMADANI dan kita akan teruskannya.

“Saya beri jaminan andai kata penarikan subsidi berlaku dan ia memberi kesan kepada rakyat, kita akan tambah STR,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas lanjut Anwar berkata pertumbuhan ekonomi negara turut dibuktikan menerusi peningkatan kemasukan pelaburan asing dengan nilai yang lebih tinggi berbanding dengan tahun-tahun sebelum ini.

Jelas Perdana Menteri, kemasukan pelaburan langsung asing memberi impak positif kepada ekonomi Malaysia dan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan terutama dalam kalangan anak muda, selain peningkatan tahap kemahiran dan pengetahuan mereka.

Beliau menegaskan walau bagaimanapun, terdapat cabaran yang perlu ditangani oleh kerajaan iaitu menyediakan bentuk latihan dan kemahiran yang lebih sesuai serta memenuhi kehendak pasaran.

“Tumpuan kerajaan adalah pertumbuhan ekonomi, mutu pendidikan, kemudahan kesihatan yang lebih baik dan sosioekonomi yang lebih baik seperti menoktahkan kemiskinan tegar dan sekolah daif.

“Melalui pelaburan yang jauh lebih tinggi dan dalam bidang yang dianggap berteknologi tinggi seperti digital dan tenaga boleh baharu, ini akan memberi jaminan untuk pekerjaan yang lebih banyak,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas