Berita

Belanjawan 2024: RM16.3 bilion diperuntukkan KPT, diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN

SEBANYAK RM300 juta turut disediakan untuk menyelenggara dan membaiki prasarana di IPT.
- Diterbit 13 Oktober 2023 1:41 PM MYT

KEMENTERIAN Pendidikan Tinggi diperuntukkan sebanyak RM16.3 bilion pada tahun ini berbanding RM15.3 bilion ringgit pada tahun lepas.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sebangak RM250 juta untuk menggantikan dan meluaskan capaian Wi-Fi di semua universiti awam termasuk RM5 juta untuk melaksanakan projek pendigitalan hospital pengajar universiti.

Tambah Anwar, sebanyak RM300 juta turut disediakan untuk menyelenggara dan membaiki prasarana di Institut Pengajian Tinggi (IPT) serta menggantikan peralatan lama yang usang.

“Selain itu, sejumlah RM5 juta disediakan untuk manfaat 5,000 komuniti tumpuan di 105 kolej komuniti seluruh negara.

“Kerajaan menyediakan RM1 juta kepada setiap universiti awam untuk memperhebat pelaksanaan Program Pengupayaan Komuniti MADANI dan Program Pemulihan Dalam Komuniti OKU,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia Madani di Parlimen hari ini.

Anwar menegaskan, bagi memperhebat penerokaan bidang AI rentas disiplin ilmu, penubuhan pusat pengajian kecerdasan buatan pertama negara iaitu Fakulti Kecerdasan Buatan (AI) di Universiti Teknologi Malaysia dengan peruntukan awal RM20 juta.

“Bermula Januari 2024, yuran bagi tujuan pendaftaran masuk ke universiti awam dihadkan untuk tidak melebihi RM1,500.

“Pada sama, pelajar sedia ada yang tidak mampu membayar yuran pengajian tidak akan disekat bagi mendaftar subjek pada setiap semester dan bayaran boleh dilunaskan selepas pendaftaran subjek,” ujarnya.

Dalam pada itu, Anwar memberitahu kerajaan bersetuju untuk memberikan diskaun bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bermula 14 Oktober 2023 sehingga 31 Mac 2024.

“Diskaun 10 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman; diskaun 10 peratus untuk bayaran sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayaran; dan diskaun 15 peratus untuk bayaran secara potongan gaji atau debit terus berjadual,” katanya. – WILAYAHKU – SYED HAZIQUE

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas