Berita

Belanjawan 2024: Kementerian Pendidikan terima peruntukan sebanyak RM58.7 bilion

SEBANYAK RM1.9 bilion disediakan untuk menaik taraf dan menyelenggara sekolah-sekolah di seluruh negara.
- Diterbit 13 Oktober 2023 1:36 PM MYT

KERAJAAN memperuntukkan sebanyak RM58.7 bilion ketimbang RM55.2 bilion tahun 2023 buat Kementerian Pendidikan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sejumlah RM1.9 bilion disediakan untuk menaik taraf dan menyelenggara sekolah-sekolah di seluruh negara.

Menurut Anwar, sebanyak 26 buah sekolah baharu akan mula dibina dengan kos keseluruhan projek berjumlah RM2.5 bilion ringgit.

“Mulai tahun hadapan, kerajaan bersetuju meluaskan kriteria pendapatan ibu bapa bagi permohonan Biasiswa Kecil Persekutuan (BKP) mengikut kadar pendapatan garis kemiskinan (PGK) RM2,589 berbanding RM1,500 sebelum ini.

“Kerajaan turut bersetuju memperluas pemberian bantuan di bawah Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin kepada murid sehingga tingkatan tiga berbanding sehingga tingkatan satu sebelum ini. Keseluruhannya, sejuta murid akan menerima manfaat dengan peruntukan RM150 juta ringgit,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia Madani di Parlimen hari ini.

Tambah beliau, bagi memperkasa bidang aliran Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM), sebuah Jawatankuasa Khas STEM rentas kementerian akan ditubuhkan antaranya untuk menetapkan sasaran serta langkah bagi meningkatkan penyertaan bidang STEM dalam kalangan pelajar sekolah menengah.

Jelasnya lagi, kerajaan turut menyediakan RM100 juta untuk menyelenggara dan menaik taraf makmal komputer sekolah dan memperoleh peralatan baharu untuk pembelajaran STEM.

“Selain itu, sebanyak 18 blok baharu pendidikan khas akan dibina dengan kos RM180 juta serta RM30 juta juga disediakan untuk membekalkan peralatan sokongan pendidikan khas dan menyediakan kemudahan mesra OKU bagi memudahkan urusan murid dan guru di sekolah.

“Sementara itu, sebanyak RM100 juta disediakan bagi melaksanakan pendekatan holistik melibatkan semua pihak dalam membantu murid yang masih tercicir dan memerlukan bimbingan lanjut akibat pandemik COVID-19,” ujarnya. – WILAYAHKU – SYED HAZIQUE

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas