Berita

MINDEF, KDN terima RM38.7 bilion perkasa keselamatan negara

PERUNTUKAN untuk kedua-dua kementerian itu bertujuan memperkukuh tahap kesiapsiagaan pertahanan dan keselamatan negara.
- Diterbit 13 Oktober 2023 2:16 PM MYT

KEMENTERIAN Pertahanan (MINDEF) menerima peruntukan RM19.7 bilion, meningkat RM2 bilion berbanding tahun 2023.

Sementara Kementerian Dalam Negeri (KDN) pula diperuntukkan RM19 bilion, juga bertambah RM500 juta berbanding tahun ini.

Mengumumkan perkara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata jumlah peruntukan RM38.7 untuk kedua-dua kementerian itu bertujuan memperkukuh tahap kesiapsiagaan pertahanan dan keselamatan negara.

“Kerajaan akan memulakan proses perolehan aset-aset baharu termasuklah perolehan 12 buah helikopter baharu Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM); perolehan aset-aset utama Tentera Darat Malaysia (TDM) seperti 60 kereta perisai infantri, 50 High Mobility Light Tactical Vehicle (HMLTV), enam buah Hovercraft Integrated Fast Interceptor serta 733 kenderaan sokongan pelbagai jenis.

“Kerajaan juga akan melaksanakan kerja-kerja memasang pulih dua buah aset kapal selam selain meneruskan perolehan tiga buah Littoral Mission Ship (LMS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM); serta perolehan bagi menggantikan aset lama dengan tujuh buah pesawat kapal terbang twin engine dan lima buah helikopter ringan PDRM,” kata Anwar ketika pembentangan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut beliau, situasi tegang di Laut China Selatan perlu ditangani secara musyawarah dan Malaysia mengulangi komitmen penyelesaian secara aman dan keselamatan sempadan dan perairan negara akan terus dipertahan di samping mempertingkatkan kecekapan dan keberkesanan kawalan di pintu-pintu masuk antarabangsa.

“Kerajaan akan menambah aset-aset perairan antaranya perolehan 45 unit bot pelbagai jenis Tentera Darat serta sembilan buah kapal ronda generasi baharu dan bot pemintas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM),” katanya.

Selain itu, Perdana Menteri berkata kerajaan akan membina tujuh pos imbangan antaranya di Melikin dan Pa’ Daleh, Sarawak, pos keselamatan di Sungai Desa Aji Kuning, Pulau Sebatik, Sabah serta kerja awalan pembinaan dua ICQS di Nabawan dan Kalabakan, Sabah.

Beliau berkata kerajaan akan mewujudkan sebuah agensi tunggal sempadan negara atau single border agency (SBA) dan RM20 juta turut disediakan untuk menyelenggara, membaiki serta memperoleh harta modal di pintu-pintu masuk antarabangsa seluruh negara.

Dalam pada itu, kerajaan menyatakan komitmen untuk terus menjaga kebajikan demi kesejahteraan anggota beruniform dan pesara anggota pertahanan yang berkorban demi negara.

“Kerajaan memperuntukkan RM400 juta untuk menyelenggara dan membaik pulih semua Rumah Keluarga Angkatan Tentera.

“Sebanyak RM20 juta turut disediakan untuk menaik taraf sistem pembetungan Kem Tentera Darat secara berfasa,” katanya.

Ujar Anwar, kerajaan akan terus menggiatkan inisiatif PROTEGE-RTW yang merupakan penempatan latihan pekerjaan dengan kerjasama syarikat penerima kontrak kerajaan dan meluaskan skop kepada golongan veteran ATM di bawah kontrak yang dimeterai oleh Kementerian Pertahanan.

“Bagi melindungi kebajikan dan pembangunan sosioekonomi anggota veteran, setiap program kerajaan akan mempunyai kuota khusus untuk veteran seperti program keusahawanan, latihan, pekerjaan dan kemudahan pembiayaan,” katanya. WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas