Berita

Belanjawan 2024: RM1.2 bilion bantu OKU, RM1 bilion kesejahteraan warga emas

BANTUAN itu melibatkan bantuan seperti penjagaan OKU kronik terlantar, OKU tidak upaya bekerja dan elaun pekerja OKU.
- Diterbit 13 Oktober 2023 12:34 PM MYT

SEJUMLAH RM1.2 bilion disediakan kerajaan untuk menyalurkan pelbagai bentuk bantuan kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

Ia melibatkan bantuan seperti penjagaan OKU kronik terlantar, OKU tidak upaya berkerja dan elaun pekerja OKU.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kadar elaun pelatih OKU yang mengikuti Program Pemulihan Dalam Komuniti akan ditingkatkan kepada RM300 sebulan ketimbang RM150 mulai tahun hadapan.

“Peningkatan ini akan memanfaatkan lebih 18 ribu pelatih OKU dengan tambahan peruntukan RM30 juta.

“Bagi memberikan manfaat kepada usahawan OKU mikro, kemudahan pembiayaan khas oleh Bank Simpanan Nasional disediakan sebanyak RM50 juta,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia Madani di Parlimen hari ini.

Sementara itu, Anwar menegaskan sejumlah RM1 bilion diperuntukkan untuk melindungi kesejahteraan warga emas bagi tahun 2024.

“Aantaranya untuk membiayai bantuan tunai dan penyaluran dana bagi institusi penjagaan dan pusat aktiviti warga emas,” jelasnya. – WILAYAHKU – SYED HAZIQUE

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas