Berita

Belanjawan 2024: KKM terima peruntukan terbesar berjumlah RM41.2 bilion

SEBANYAK RM5.5 bilion daripada peruntukan keseluruhan adalah untuk memperoleh bekalan ubat, bahan guna habis, reagen dan vaksin. - Gambar hiasan
- Diterbit 13 Oktober 2023 12:52 PM MYT

KERAJAAN menyediakan peruntukan RM41.2 bilion bagi memastikan rakyat memperoleh akses penjagaan kesihatan berkualiti untuk semua selari dengan Kertas Putih Kesihatan yang dibentangkan dalam persidangan parlimen pada Jun lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa membentangkan Belanjawan 2023 bertemakan Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat, berkata peruntukan itu lebih tinggi berbanding RM36.3 bilion tahun ini dibuat menerusi empat tonggak dalam strategi reformasi kesihatan negara termasuklah mengintegrasikan sektor kesihatan awam dan swasta yang selama ini dipisahkan.

Anwar berkata peruntukan yang diumumkan itu merangkumi beberapa perkara antaranya pembinaan Kompleks Hospital Pengajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Fasa 1 di Kota Tinggi, Johor dengan kos RM938 juta; kerja awalan bagi Pembinaan Hospital Sultanah Aminah 2, Johor Bahru, Johor; Blok Patologi Tambahan di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kelantan dengan kos RM175 juta; Bangunan tambahan Jabatan Kecemasan dan Trauma di Hospital Sultan Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor.

“Selain itu, lima buah klinik kesihatan baharu akan dibina antaranya di Rantau, Negeri Sembilan; Kuala Tahan, Jerantut, Pahang; Kuala Jengal, Dungun, Terengganu dan Pulau Mantanani, Kota Belud, Sabah dengan kos RM150 juta.

“Kerajaan turut menyokong hasrat Sarawak untuk membangunkan sebuah Institut Kanser di Sarawak,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar berkata sejumlah RM5.5 bilion daripada peruntukan tersebut adalah untuk memperoleh bekalan ubat, bahan guna habis, reagen dan vaksin.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata pihaknya memperuntukan RM200 juta bagi mempertingkatkan kerjasama dengan menyumber luar pesakit ke hospital lain termasuklah hospital tentera, universiti dan swasta untuk terus mengawal kesesakan di hospital KKM.

Kata Perdana Menteri, memandangkan Malaysia masih belum memenuhi nisbah seorang doktor kepada 400 pesakit, kerajaan sedang berusaha agar ketercapaian kemudahan kesihatan akan terus ditingkatkan bagi menyurai kesesakan.

“Untuk itu, komitmen Kerajaan Perpaduan untuk membaik pulih kira-kira 400 buah klinik uzur yang masih punyai struktur kayu dan pendawaian usang akan terus diperhebat melalui peruntukan RM300 juta.

“Sejumlah RM766 juta turut disediakan untuk perolehan peralatan perubatan di Hospital KKM bagi menggantikan peralatan yang mencecah Beyond Economic Repair (BER) di samping memenuhi keperluan pelbagai disiplin perkhidmatan baharu.

“Ini termasuk RM200 juta untuk perolehan bagi memastikan kesiagaan perkhidmatan kesihatan dalam memberi respons kepada panggilan kecemasan,” katanya.

Menurut Anwar, pihaknya menyediakan RM150 juta ringgit untuk menyelenggara sistem teknologi maklumat di bawah KKM termasuk menyediakan Clinic Management System Subscription (CCMS) di 100 klinik kesihatan.

“Ini berikutan hanya 3 peratus klinik kesihatan negara dilengkapi rekod kesihatan digital dan ia amat penting bagi mewujudkan capaian data pesakit dengan pantas dan boleh dikongsi dengan semua prasarana kesihatan Kerajaan,” katanya.

Perdana Menteri berkata menerusi Agenda Nasional Malaysia Sihat, kerajaan memperuntukan RM130 juta yang akan melaksanakan aktiviti pencegahan penyakit melalui saringan sihat, saringan awal bayi baru lahir, membekal vaksin kepada ibu hamil.

“Selain itu pada masa yang sama, Skim Perubatan MADANI akan diperluas ke seluruh negara dengan peruntukan RM100 juta yang akan memanfaatkan 700 ribu rakyat dan meneruskan Skim MySalam bagi tempoh dua tahun lagi.

“RM50 juta turut disediakan untuk tuntutan kos peranti perubatan seperti stent untuk jantung,” katanya.

Sebagai usaha membendung risiko kesihatan, KKM akan mengenakan duti eksais ke atas produk tembakau kunyah pada kadar 5 peratus ditambah 27 ringgit sekilogram sepertimana duti eksais yang dikenakan ke atas tembakau snuff.

“Kadar duti eksais semasa bagi minuman bergula akan dinaikkan daripada 40 sen kepada 50 sen seliter dan hasil duti eksais ini akan disalurkan semula khusus untuk menangani dan merawat penyakit kencing manis termasuk sokongan kepada pusat dialisis,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas