Berita

Belanjawan 2021 mesti diluluskan untuk tangani COVID-19 – Saifuddin

- Diterbit 5 November 2020 8:38 AM MYT

BELANJAWAN 2021 mesti diluluskan bagi memastikan dana mencukupi yang amat diperlukan negara dalam menangani COVID-19 dapat disalurkan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.

Tegasnya ini penting bagi meneruskan segala usaha dan kerja prihatin kerajaan dan semua pihak selama ini dalam menangani pandemik berkenaan yang kini masuk ke gelombang ketiga dengan jumlah rakyat yang dijangkiti melebihi 30,000 orang.

Menjangkakan belanjawan kali ini lebih ke arah ‘Belanjawan COVID-19’ yang ‘berani’, beliau berasakan inti pati belanjawan disusun bukan berdasarkan defisit atau lebihan, sebaliknya mengandungi semua yang diperlukan untuk kepentingan rakyat, termasuk menambah hutang jika perlu.

“Apa yang mustahak ialah kerajaan mempunyai dana mencukupi untuk melaksanakan semua program dan projek pembangunan demi rakyat,” katanya menerusi artikel bertajuk ‘Prihatin Menangani COVID-19’ yang dikongsi dalam ruangan Tinta Minda di portal Bernama.com.

Menurut Saifuddin, sejak pembentukannya, kerajaan Perikatan Nasional menjadikan COVID-19 sebagai fokus terpenting dengan strategi utama memastikan keseimbangan di antara nyawa dan kehidupan ekonomi.

Katanya sejak awal lagi, kerajaan telah mempunyai perancangan yang jelas dan pelaksanaan yang kemas, namun beliau mengakui kerajaan tetap tidak sunyi daripada kesilapan dan kelemahan.

“Tetapi pokoknya semuanya difikirkan dan dizahirkan dengan teratur. Contohnya, pelbagai jenis prosedur operasi standard yang dibangunkan melalui libat urus bersama semua pihak yang berkaitan.

“Majlis Keselamatan Negara pula berbincang dengan teliti tentang pengumuman dan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat dan PKP Pemulihan,” katanya.

Dalam soal ekonomi pula, Saifuddin berkata kerajaan menyusun strategi dengan membahagikan dasar ekonomi kepada kepada enam tahap melalui strategi ‘6R’ iaitu Restore (Ketegasan), Resilience (Ketahanan), Restart (Memulakan-semula), Recovery (Pemulihan), Revitalise (Memperkasa) dan Reform (Menyusun semula).

“Belanjawan 2021 yang akan dibentang 6 Nov (esok) ialah tahap kelima (Memperkasa) dan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) yang akan dibentang pada Januari 2021 ialah tahap keenam (Menyusun semula),” katanya.

Artikel penuh ‘Prihatin Menangani COVID-19’ boleh diakses menerusi portal Bernama.com. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas