Berita

DBKL buka 2,000 lokasi niaga untuk usahawan muda

- Diterbit 5 November 2020 10:41 AM MYT

HAMPIR 2,000 lokasi niaga di sekitar ibu negara yang sebelum ini tidak dibenarkan berniaga akan dibuka kepada mereka yang hilang pekerjaan menjalankan perniagaan menerusi program Usahawan Muda Kota.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa berkata, pihaknya akan mengambil langkah fleksibel bagi membantu golongan tersebut.

“Kita menggap ia sebagai tempoh darurat terutama bagi mereka yang kehilangan mata pencarian secara tiba-tiba.

“Mereka boleh datang kepada DBKL dan lesen sementara akan di keluarkan untuk mereka berniaga,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Bakul Makanan anjuran Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) kepada 40 pemandu teksi yang terjejas akibat COVID-19 di Bangunan YWP di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Zaizalnizam Zainun.

Beliau berkata, pada masa sama, mereka yang terjejas boleh mencadangkan lokasi kepada kementerian dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk dipertimbangkan.

“Dengan syarat, lokasi yang dipilih tidak menganggu ketenteraman orang awam, kawasan lalu lalang selain perlu memastikan tahap kebersihan di kawasan itu terjaga,” katanya. -OLEH AZLAN ZAMBRY -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas