Biz

Bank Muamalat sedia dana RM10 juta

Nor Hamidah bertukar dokumen dengan Mohamad Jamil (kanan)
- Diterbit 16 Januari 2020 9:57 AM MYT

KUALA LUMPUR – Bank Muamalat Malaysia memperuntukkan sebanyak RM10 juta sebagai fasiliti kewangan kepada kira-kira 200 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam sektor perkhidmatan berkaitan pembuatan bawah program SIRIM-Fraunhofer.

Ketua Bahagian Perbankan Perniagaan Bank Muamalat, Nor Hamidah Abu Bakar berkata melalui kerjasama SIRIM, itu dapat memenuhi keperluan kewangan PKS serta membantu mempertingkatkan produktiviti mereka melalui penggunaan teknologi untuk kekal kompetitif dengan Revolusi Industri Keempat (IR 4.0).

“Program itu akan menyediakan PKS yang layak dengan geran berdasarkan kepada prinsip 80:20, yang mana 80 peratus pemberian geran daripada SIRIM manakala baki akan disediakan oleh bank dalam bentuk pinjaman,” katanya dalam Majlis Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Bank Muamalat dan SIRIM Bhd baru-baru ini.

Ujar Nor Hamidah lagi, kemudahan pembiayaan maksimum adalah sebanyak RM50,000 bagi setiap PKS manakala geran boleh mencecah sehingga RM200,000, yang akan disalurkan dalam bentuk jentera dan peralatan.

Sementara itu, Naib Presiden SIRIM Industrial Research, Ir Dr Mohamad Jamil Sulaiman, berkata sejumlah 681 syarikat telah mengambil bahagian dalam program SIRIM-Fraunhofer sejak 2016 hingga 2019 yang mengambil pendekatan Institut Fraunhofer Jerman yang te­lah berjaya membantu banyak syarikat di Eropah.

“Syarikat-syarikat itu telah melalui audit teknologi di bawah program yang dijalankan oleh juruaudit bertauliah yang terdiri daripada penyelidik serta jurutera SIRIM.

“Ia menyediakan saluran untuk syarikat menilai keupayaan pengurusan teknologi mereka dan memahami kekuatan serta kelemahan mereka termasuk penambahbaikan dalam bidang yang berpotensi,” kata­nya.

Mohamad Jamil berkata, dalam program SIRIM-Fraunhofer yang terdahulu, SIRIM memperuntukkan 80 peratus geran manakala PKS perlu menyumbang 20 peratus daripada jumlah kos projek.

Pada majlis berkenaan, Bank Muamalat diwakili oleh Nor Hamidah manakala Mohamad Jamil mewakili SIRIM.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin dan Presiden serta Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Prof Ir Dr Ahmad Fadzil Mohamad Hani.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas