Biz

MAN Malaysia rancang buka pusat servis keempat

ANTARA produk trak keluaran MAN.
- Diterbit 16 Januari 2020 9:59 AM MYT

PELABUHAN KLANG – Pembuat kenderaan komersial, MAN Truck & Bus Malaysia Sdn Bhd (MAN Malaysia) merancang untuk membuka pusat servis keempat pada Mac tahun ini.

Pengarah Urusan, Andrew Brooks berkata, pihaknya kini mempunyai tiga pusat servis iaitu di Rawang, Selangor; Perai, Pulau Pinang dan Johor Bahru, Johor.

“Pusat servis baharu di Klang itu mempunyai enam ruang servis, dilengkapi dengan semua peralatan yang diperlukan bagi memberi perkhidmatan pada tahap tertinggi,” katanya kepada pemberita selepas pengumuman MAN Malaysia mengenai kepimpinan baharunya bagi negara serta pusat servis baharu di sini, baru-baru ini.

Katanya lagi, langkah yang diambil pihaknya adalah untuk menawarkan penjagaan kenderaan yang lebih cekap dan dapat dilaksanakan pada masa yang sesuai kepada pengendali dan pelanggannya.

“Kami telah mempunyai perkhidmatan bergerak di Klang, jadi akan ada gabungan, dengan pusat servis akan menyelesaikan isu teknikal manakala perkhidmatan bergerak akan menangani masalah kecil,” katanya.

Hadir sama Presiden Persatuan Haulier Malaysia, Datuk Nazari Akhbar dan Ketua Wilayah MAN Asia Pasifik, Thilo Halter.

Pada majlis itu, MAN Malaysia menyerahkan 12 buah trak MAN TGS19 kepada Nittsu Transport & Services Malaysia Sdn Bhd, menjadikan jumlah keseluruhan kenderaan MAN di dalam syarikat pengangkutan itu sebanyak 39 buah.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas