Selera

Nak rasa masakan asli Siam? Jom ke Maluri Tom Yam

HIDANGA tom yam poktek sering mendapat permintaan menggalakkan daripada pelanggan.
- Diterbit 10 Januari 2020 8:31 AM MYT

MASAKAN tom yam yang berasal dari negara jiran, Thailand kini sudah menjadi sebahagian daripada sajian utama rakyat Malaysia.

Bahkan menu ini memang mudah didapati kerana banyak kedai dan gerai makan yang menyediakan hidangan ala-Thai dijual di negara ini.

Namun sebenarnya agar sukar untuk mencari kedai tom yam yang benar-benar menepati rasa sebenar masakan Siam tersebut.

Bagaimanapun, anda pasti tidak kecewa apabila berkunjung ke Restoran Maluri Tom Yam, milik pasangan suami isteri, Roazwan Zaibidi, 36 dan Putri Nurul Balqis Ahmad Zali, 38, di Taman Maluri ini.

Kehadiran ramai pelanggan yang memenuhi ruang di restoran tersebut sudah memberikan gambaran awal bahawa mutu masakan di premis hidangan ala-Thai itu menepati selera mereka.

“Restoran ini mula dibuka pada November 2017 dengan berkonsepkan kafe moden dan semi-hipster. Ia menjadi tumpuan pelanggan yang sebahagian besar merupakan pelajar institut pengajian tinggi (IPT) di sekitar kawasan ini.

HIDANGAN ikan siakap tiga rasa yang membuka selera.

“Selain itu, restoran ini juga menjadi pilihan penduduk berhampiran menjamu selera kerana tukang masak yang disediakan di sini diimport khas dari Patani yang terkenal dengan kemahiran menyajikan masakan alaThai yang lazat,” kata Roazwan kepada Wilayahku baru-baru ini.

Kata Roazwan, antara menu yang wajib dicuba oleh para pelanggan adalah Tom Yam Pok Tek, gabungan ketam, ayam, udang, ikan siakap dan sotong yang dicampur ke dalam tom yam.

Apa yang dapat dirasakan kelainan tom yam di sini ialah pada kuahnya yang pekat dan aromanya harum.

Selain itu, di restoran itu juga, terdapat pelbagai jenis menu yang berasaskan ikan seperti ikan siakap, ikan kembung.

“Menu yang sering menjadi pilihan pelanggan adalah masak tiga rasa, siakap stim limau, siakap laprik dan pelbagai lagi,’’ katanya.

Tambah Roazwan, harga kesemua menu berasaskan ikan adalah mengikut harga pasaran dan tidak menyediakan ikan yang agak ‘mahal’ seperti kerapu kerana permintaan kurang.

“Namun ada dalam kalangan pelanggan tetap membawa ikan sendiri dan mengupah kami untuk memasak mengikut menu yang ada ditawarkan di sini,” katanya

ROAZMAN dan isterinya, Putri Nurul Balqis menunjukkan hidangan yang dijual di restoran mereka.

Kata Roazwan, salah satu menu unik yang terdapat di sini adalah bendi goreng belacan, brokoli udang, tom yam sardin, pakapau ayam dan kerabu sotong.

“Menu seperti ini sering dipesan oleh pelanggan kerana rasanya yang unik,’’ katanya yang turut menyediakan menu berasaskan sayur.

Ujar Roazwan lagi, seiring dengan kepesatan penggunaan teknologi, pihaknya turut menyediakan khidmat penghantaran menggunakan aplikasi telefon pintar.

“Kami menggunakan khidmat Grab Food dan juga Food Panda dengan menerima kira-kira 180 tempahan setiap hari,” katanya.

Roazwan berkata, restorannya boleh menempatkan 120 pelanggan dalam satu-satu masa itu dan memberikan potongan harga sebanyak 10 peratus kepada golongan pelajar.

“Mereka hanya perlu menunjukkan kad pelajar dan seterusnya layak menerima potongan tersebut,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas