Berita

Bank Islam tawar moratorium 6 bulan, bantu pelanggan terjejas akibat coronavirus

BANK Islam menawarkan moratorium selama enam bulan kepada pelanggannya yang terjejas akibat wabak 2019 nCoV. - Gambar hiasan
- Diterbit 11 Februari 2020 10:54 AM MYT

PUTRAJAYA – Bank Islam Malaysia Bhd. (Bank Islam) menawarkan moratorium sehingga enam bulan bagi bayaran ansuran bulanan untuk pinjaman dan pembiayaan kepada pelanggan individu serta perniagaan yang terjejas akibat penularan wabak 2019 novel coronavirus (2019 nCoV).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Muazzam Mohamed berkata, pihaknya prihatin di atas kebimbangan mengenai peningkatan jangkitan novel coronavirus dan mengikuti secara dekat berita terkini melibatkan pelanggannya yang mungkin terjejas akibat wabak tersebut.

Beliau memberitahu, kebajikan dan kepentingan komuniti di negara ini sentiasa menjadi salah satu keutamaan utama Bank Islam dan mengambil tindakan proaktif dalam membantu pelanggannya menangani masalah kewangan mereka.

“Kami berharap tawaran ini akan membantu melegakan kebimbangan mereka terhadap komitmen kewangan bulanan dengan pilihan sehingga enam bulan moratorium ansuran,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Kad Debit-i Bank Islam Visa Tabung Haji di sini hari ini.

Mohd. Muazzam berkata, para pelanggan yang terjejas dan memerlukan moratorium tersebut dinasihatkan agar berurusan di cawangan Bank Islam terdekat atau hubungi Pusat Panggilan Bank Islam di talian 03-2690 0900. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas