Berita

Bank Islam lancar kad debit-i Visa Tabung Haji

SEORANG kakitangan Bank Islam menunjukkan kad debit-I Bank Islam Visa Tabung Haji yang akan disediakan di pasaran menjelang akhir Mac 2020.
- Diterbit 11 Februari 2020 10:29 AM MYT

PUTRAJAYA – Sejajar dengan kepentingan teknologi semasa dan fokus kepada masyarakat tanpa tunai menjelang tahun 2050, Bank Islam Malaysia Bhd. (Bank Islam) melancarkan kad Debit-i hasil usaha sama dengan Lembaga Tabung Haji (TH) dan Visa.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd. Muazzam Mohamed berkata, pengenalan kad debit ini adalah sejajar dengan strategi Bank Islam untuk menjalin hubungan jangka panjang dengan rakan strategiknya dalam menawarkan penyelesaian pembayaran tanpa tunai berserta nilai tambah kepada pelanggan.

“Matlamat utama adalah untuk menggalakkan peralihan daripada pembayaran berasaskan kertas kepada mod elektronik dengan infrastruktur pembayaran yang lebih meluas.

“Selain itu, kad debit ini membolehkan pelanggan membuat pembayaran di lebih 60 juta lokasi saudagar atau merchant dan mendapatkan akses tunai di lebih 2.5 juta terminal layan diri (ATM) di seluruh dunia termasuk Arab Saudi,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kad Debit-i Bank Islam Visa Tabung Haji di sini hari ini.

MUJAHID (dua dari kiri) bersama Nik Mohd. Hasyudeen (kiri), Mohd. Muazzam (dua dari kanan) dan Mandy Lamb menunjukkan replika kad debit-i Bank Islam Visa Tabung Haji di Putrajaya hari ini.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof; Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Datuk Nik Mohd. Hasyudeen Yusoff dan Pengurus Negara Kumpulan, Rantau Asia Tenggara Visa, Mandy Lamb.

Mohd. Muazzam berkata, para pelanggan yang berminat untuk mendapatkan kad debit tersebut, mereka hanya perlu membuka akaun Bank Islam di mana-mana cawangan terdekat untuk mendapatkan kad debit jenama tersebut.

“Pendeposit TH boleh mengakses akaun masing-masing dengan menghubungkannya dengan kad debit ini dan mereka hanya perlu memindahkan dana yang diperlukan daripada akaun simpanan TH mereka ke dalam akaun Bank Islam,” katanya – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas