Berita

10 bandar paling bahagia di Malaysia bakal terima anugerah pada 17 Mac ini

KEWUJUDAN masyarakat bahagia mampu menjadikan sesuatu negara lebih selesa dihuni. Gambar hiasan
- Diterbit 11 Februari 2020 11:44 AM MYT

ABU DHABI – Pembangunan mapan sangat penting kerana ia menjadi sebagai salah satu kunci utama bagi memperbaiki kebahagiaan dan kesejahteraan hidup manusia di dunia ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad berkata, kerajaan bersikap serius apabila menyentuh soal kebahagiaan kerana ia menjadi satu manifestasi kepada sebuah negara yang hebat.

”Kita sangat serius apabila membabitkan untuk menjadi bahagia. Masyarakat bahagia merupakan manifestasi sebuah negara yang hebat,” katanya ketika berucap merasmikan majlis pra pelancaran Hari Kebahagiaan Antarabangsa Malaysia di Pavilion Malaysia di luar sidang Forum Urban Sedunia (WUF) ke-10 di Pusat Pameran Nasional Abu Dhabi hari ini.

Khalid berkata, sempena sambutan berkenaan tahun ini, kerajaan akan memberikan anugerah kepada 10 bandar paling bahagia di Malaysia pada majlis pelancaran Hari Kebahagiaan Antarabangsa di Putrajaya pada 17 Mac depan.

”Anugerah tersebut akan diberi berdasarkan data yang diperoleh dari pangkalan data MURNINets pada tahun lepas,” katanya.

Sebelum itu, beliau turut menyempurnakan perasmian pra pelancaran Malaysia Urban Planning Initiative I-Plan Web Mobile: Integrated Land Use Planning Information System dan portal MURNInets 2.0.

Hadir sama Pengarah Eksekutif Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN Habitat), Datuk Seri Maimunah Mohd. Sharif; Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr. Mary Wong Lai Lin dan Ketua Pengarah PLAN Malaysia, Datuk TPr Mohd. Anuar Maidin.

Hari Kebahagiaan Antarabangsa disambut di seluruh dunia pada 20 Mac setiap tahun dan ia telah diasaskan Jayme Illien yang merintis paradigma baharu dalam mencapai matlamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kebahagiaan, kesejahteraan dan kebebasan sejagat. Di Malaysia, ia mula disambut secara rasmi pada 2015. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas