Selebriti

Banjir ketepikan ideologi politik – Sharifah Rose

- Diterbit 24 Disember 2021 4:48 AM MYT

BENCANA banjir yang melanda beberapa buah negeri membuatkan seluruh rakyat Malaysia bersedih.

Begitu juga pelakon popular, Sharifah Rose yang turut berduka dengan apa yang berlaku.

Bagi pemilik nama sebenar Sharifah Rose Sabrina Syed Mohd Mazfira, 23, di sebalik bencana banjir, tersembunyi hikmah antaranya mengukuhkan lagi perpaduan rakyat.

“Sedih tu memanglah sedih. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Saya sendiri tak sanggup tengok video-video mangsa yang terputus hubungan disebabkan banjir.

“Namun, kita harus akur setiap yang terjadi pasti ada hikmahnya. Di sebalik semua ini penyatuan dalam kalangan rakyat lebih kukuh tanpa mengira ideologi politik, agama, kaum dan sebagainya.

“Usaha yang dilakukan semua pihak dalam membantu mangsa-mangsa banjir telah mengetepikan jurang pemisah antara rakyat Malaysia dan secara tidak langsung mengukuhkan lagi perpaduan yang telah sedia terjalin.

“Seronok tengok semua pihak bersatu hati dan bersemangat dalam memberi bantuan kepada mangsa banjir. Mereka seolah-olah sudah lupa perbezaan antara mereka yang pernah terjadi,” ujarnya yang menganggap setiap rakyat diibaratkan saling melengkapi, umpama anggota tubuh yang saling memerlukan.

Dalam perkembangan lain, Sharifah Rose yang pernah berdepan dengan beberapa kontroversi sebelum ini mengaku semua itu lebih mematangkan dirinya.

“Saya akui kontroversi itu sedikit sebanyak membantu (menaikkan nama) kita… benda macam ni kita tak boleh nak elak lebih-lebih lagi sebagai public figure mesti benda ni akan datang.

“Cumanya macam mana kita nak handle kontroversi itu yang akan menggambarkan diri kita, sebab itu ada orang cakap… bad publicity still a publicity.

“Melalui kontroversi sebelum ini banyak yang saya belajar antaranya macam mana nak kawal keadaan. Bila kita dah masuk dalam industri ini memang tak boleh nak undur ke belakang, cuma kita boleh terus perbaiki apa kekurangan kita,” jelasnya lagi.

Sebelum ini, Sharifah Rose pernah bergandingan bersama Redza Rosli dalam drama bersiri Kekasih Hati Mr Bodyguard. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas