WK2

DBKL hantar pasukan dari tiga jabatan

DBKL bantu operasi menyelamat, kerja pembersihan Taman Sri Muda, Shah Alam
- Diterbit 25 Disember 2021 1:00 AM MYT

SUSULAN kejadian banjir besar yang menimpa penduduk Seksyen 25, Kampung baru Hicom dan Taman Sri Muda, Shah Alam sejak 18 Disember lalu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menggerakkan tiga jabatannya bagi membantu operasi menyelamat dan
membersih kawasan yang terkesan dengan bencana.

Pengarah Eksekutif Pengurusan Projek DBKL, Datuk Azmi Abdul Hamid berkata, 121 anggota dari unit Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Elektrikal, Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar, Bahagian Pengurusan Bandar serta Jabatan Penguat kuasa telah dikerahkan dalam melaksanakan operasi ini.

AZMI

“Pergerakan anggota ini bertujuan memberi bantuan sebaik mungkin kepada mangsa-mangsa yang terlibat dalam bencana banjir di samping bekerjasama dengan beberapa pasukan penyelamat lain seperti bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA).

“Kami sudah berada di sini sejak Ahad. Sewaktu melihat keadaan dan keperluan tenaga di sini jadi kami putuskan untuk menambah bilangan anggota DBKL untuk membantu,” katanya kepada Wilayahku pada Selasa.

Mengulas lanjut, Azmi memberitahu, misi utama DBKL kini adalah membawa keluar mangsa yang masih berada di dalam rumah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS)  termasuk menghantar barangan keperluan kepada mereka.

“Itu adalah misi utama kami selain menghantar barangan seperti makanan, minuman, pakaian dan keperluan pengurusan diri tanpa perlu meredah banjir untuk mendapatkan bantuan tersebut.

“DBKL juga melaksanakan kerja-kerja lain seperti mengawal keselamatan mangsa dan operasi pembersihan kawasan yang dipenuhi sampah-sarap.

“Kita juga menugaskan kepada pasukan pembersihan untuk membersihkan kawasan sekitar termasuk rumah-rumah mangsa terlibat. Bagi tujuan ini, kami membawa lima buah lori, pejabat bergerak untuk memudahkan kakitangan, trak membawa keluar mangsa, jentera serta 10 buah kenderaan pick-up,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas