Berita

46 kematian, lima hilang banjir di tiga negeri

KESEMUA lima mangsa yang masih belum ditemui adalah dari negeri Pahang.
- Diterbit 25 Disember 2021 4:26 AM MYT

SEBANYAK 46 kematian manakala lima mangsa masih hilang di tiga negeri yang terjejas banjir direkodkan setakat pukul 4 pagi tadi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata negeri terlibat adalah Pahang, Selangor dan Kelantan.

“Selangor merekodkan 25 kematian, Pahang seramai 18, tiga di Kelantan dan setakat ini lima mangsa masih hilang dan kita harapkan kesemua mangsa dapat ditemui secepat mungkin,” katanya dalam satu sidang media di Pusat Media Bergerak, Pusat Kawalan Operasi Bencana, Seksyen 25, Taman Sri Muda, Shah Alam.

Acryl berkata setakat pukul 4 pagi tadi, seramai 54,532 mangsa ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

“Pahang mencatatkan jumlah penempatan mangsa paling ramai iaitu 29,108 orang berbanding di Selangor 23,702 mangsa, Kelantan 974, Perak 105 dan Negeri Sembilan seramai 292 mangsa dan Melaka 38 orang

“Kesemua mangsa masih ditempatkan di 334 PPS yang melibatkan tujuh buah negeri,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan laporan daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bahawa terdapat lapan negeri mencatatkan paras air sungai di tahap berwaspada, amaran dan bahaya.

“Sembilan lokasi di Pahang di mana dua sungai berada di tahap berwaspada, empat amaran manakala tiga lagi di tahap berbahaya.

“Tiga sungai di Selangor berada dalam tahap waspada dan amaran, Kelantan pula dua sungai di tahap amaran manakala satu lokasi di Terengganu , tiga di Johor, tiga di Sarawak, dua di Melaka dan satu di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang mana kesemuanya di tahap waspada,” jelasnya.

Acryl berkata, selain tumpuan di PPS, usaha membersihkan kawasan terjejas sedang giat dijalankan mengikut jadual yang telah disusun dengan kerjasama pihak berkuasa dan agensi, Pejabat Daerah, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta sukarelawan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas