Berita

Bersaksi di tengah badai

SEKEPING memori diambil ketika menaiki kenderaan trak yang digunakan dalam operasi menyelamat.
- Diterbit 25 Disember 2021 4:00 AM MYT

WARTAWAN    :  HAZIRAH HALIM & DIANA AMIR 

FOTO                  :   NOREEZA HASHIM

KERETA tersadai di sepanjang jalan dan dilumuri lumpur, deretan kedai yang masih ditenggelami air dan kawasan sekitar dikelilingi sampah-sarap di kawasan bencana sememangnya amat memilukan.

Suasana hiruk pikuk, jeritan sukarelawan yang bersahutan serta tangisan mangsa yang dipapah untuk dirawat amat menghibakan. Malah rengekan kelaparan anak-anak kecil yang trauma jelas menceritakan penderitaan mereka terperangkap di dalam bencana yang hampir meragut nyawa. Itulah keadaan di Taman Sri Muda, Shah Alam, kawasan yang paling teruk terjejas ekoran banjir besar ini.

Memasuki laluan utama yang dikawal ketat oleh pihak polis kelihatan dua buah khemah bantuan diletakkan tidak jauh daripada kawasan banjir. Ketika itu, terdapat sebilangan mangsa sedang meredah air untuk kembali ke kawasan rumah masing-masing.

ANGGOTA PGA menggunakan trak dalam operasi menyelamatkan mangsa yang masih terperangkap di Taman Sri Muda, Shah Alam

Sekitar pukul tiga petang penulis bersama jurugambar menaiki trak Pasukan Gerakan Am (PGA) untuk meredah banjir bagi melihat keadaan kawasan perumahan sambil mengikuti operasi menyelamat dan menghantar bantuan makanan kepada mangsa yang masih berada di apartment Damai.

Bukan mudah. Ternyata, pasukan penyelamat perlu mengharungi laluan sukar berikutan paras air yang masih tinggi dengan banyak kenderaan tersadai di tengah dan bahu jalan akibat dibawa arus banjir .

Bermacam perasaan yang menjentik hati penulis apabila melihat pelbagai ragam mangsa, ada yang mahu menyelamatkan kenderaannya, bersantai di perhentian bas meskipun sudah ditenggelami air, kanak-kanak riang bermain air dan ada juga yang dalam usaha menyelamatkan haiwan peliharaan serta barang mereka.

Sewaktu mengikuti pasukan PGA dalam operasinya, penulis turut mengambil gambar di sekitar kejadian dan sekali lagi hati diusik apabila lensa diangkat, mangsa banjir terus mengukir senyuman melambai gembira ke arah penulis namun di sebalik senyuman itu tiada siapa yang tahu perit hati untuk melalui musibah yang menimpa.

KETINGGIAN air banjir di Taman Sri Muda masih belum surut meskipun sudah memasuki hari keempat

Ketika ini, banjir termenung di Sri Muda menyebabkan air masih melebihi paras paha namun terdapat segelintir penduduk yang
enggan berpindah sebaliknya mereka sanggup duduk bergelap dengan ketiadaan bekalan elektrik dan air bersih sejak kawasan itu
dilanda banjir.

Berpeluang sekali lagi untuk melihat keadaan di waktu malam dengan menaiki kenderaan pick up pula memberi pengalaman berbeza buat penulis. Tahap paras air yang masih tinggi membolehkan ia masuk ke dalam kenderaan dan kawasan sekitar juga sudah mulai gelap, hanya diterangi oleh lampu kenderaan penyelamat seterusnya menyukarkan misi menyelamat diteruskan.  Benarlah seperti situasi tular di media sosial yang menunjukkan keadaan gelap gelita di Sri Muda pada waktu malam.

Perjalanan terhenti seketika apabila trak yang dinaiki digunakan untuk membawa seorang wanita warga emas cedera akibat terkena serpihan kaca, wanita mengandung, anak kecil serta warga emas ke lokasi lebih selamat.

Setengah hari dilalui dengan mengikuti pasukan penyelamat membuatkan penulis berasa terharu dengan pengorbanan anggota bertugas seperti Angkatan Pertahanan Awam (APM), bomba, polis dan RELA yang sanggup merisikokan nyawanya demi menyelamatkan mangsa sejak hari pertama kejadian berlaku.

Keadaan kembali sesak sekitar jam 6 petang apabila kelihatan kenderaan NGO memasuki kawasan tanpa henti untuk memberi bungkusan makan malam kepada semua mangsa dan petugas yang berada di Taman Sri Muda.

Hari sudah mulai gelap, penulis bersama jurugambar menapak semula meninggalkan lokasi sejauh dua kilometer ke kawasan tempat letak kenderaan kerana kehabisan bateri telefon bimbit, kamera, laptop dan ketiadaan powerbank yang mana menyukarkan penulis berhubung
dengan pihak luar.

SUKARELAWAN menolak kerusi roda
seseorang wanita untuk dibawa ke
Pusat Pemindahan Sementara.

Pengalaman pertama ini pastinya tidak dapat dilupakan dan menyimpan 1001 memori buat penulis.Ia juga mengajar penulis untuk
membuat persiapan sepatutnya sebelum turun padang membuat liputan seperti menyediakan powerbank secukupnya, memakai
pakaian bersesuaian dan sebagainya.

Tinjauan ini juga mengajar penulis untuk lebih bersifat empati terhadap masyarakat serta menunjukkan rakyat malaysia bersatu dalam membantu satu sama lain. Bak kata orang rakyat jaga rakyat. – WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas