Berita

Azlan & Typewriter hadiahkan lagu buat barisan hadapan

LAGU Barisan Hadapan buah tangan sempena PKP.
- Diterbit 16 April 2020 8:28 AM MYT

SIAPA pun pasti terkesan melihat raut wajah anggota barisan hadapan yang berkhidmat untuk negara ketika ini.

Mereka bukan sahaja meninggalkan keluarga di rumah demi melawan virus Covid-19 bahkan turut menggadaikan nyawa semata-mata mahu negara kembali seperti dahulu.

Mengambil inisiatif untuk memberikan semangat dan sebagai tanda terima kasih, Azlan & Typewriter sempat merakam sebuah lagu berjudul Barisan Hadapan untuk mereka.

Bagi kumpulan ini, jasa dan pengorbanan barisan hadapan tidak terbalas dengan wang ringgit. Ia begitu besar nilainya dan harus dihargai oleh semua.

“Sayu hati melihat gambar dan video mereka tular di laman sosial. Jasa petugas barisan hadapan ini tidak dapat diungkap dengan kata-kata.

“Mereka bukan sahaja merawat pesakit di hospital, malah sebahagian besar berada di atas jalan raya semata-mata mahu menjaga keselamatan dan mengawal keadaan,” kata Azlan yang mencipta sepenuhnya lagu tersebut.

Mengambil masa seminggu menyiapkan lagu itu, dia turut menasihati masyarakat untuk mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan terus kekal di rumah.

“Hanya dengan berada di rumah kita mampu memutuskan rantaian Covid-19 ini seterusnya mengembalikan keamanan yang pernah kita kecapi suatu masa dahulu,” ujarnya.

Lagu dan video muzik Barisan Hadapan boleh ditonton di saluran YouTube Indigital Music bermula pukul 11 pagi ini. – WILAYAHKU

AZLAN (tengah) bersama ahli kumpulannya.
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas