Berita

Jalan sesak, ramai ingat PKP dah tamat

LEBIH banyak kenderaan berada di jalan raya sejak semalam ekoran kelonggaran kepada beberapa sektor lain. - Gambar hiasan IPD Serdang
- Diterbit 16 April 2020 8:51 AM MYT

PUTRAJAYA – Sikap segelintir rakyat yang sengaja melupakan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan kehadiran banyak kenderaan di jalan raya.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara ini termasuk laporan yang dimaklumkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) terdapat syarikat-syarikat yang tidak terlibat dalam perkhidmatan keperluan asas mengambil kesempatan memulakan operasi perniagaan mereka.

Justeru beliau menasihatkan bahawa hanya syarikat yang telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dibenarkan beroperasi sepanjang PKP.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang melanggar PKP. Saya ingin mengingatkan bahawa PKP belum lagi ditarik balik dan berterusan.

“Maka, undang-undang berkaitan PKP masih berjalan seperti biasa dan kehadiran banyak kenderaan seolah-olah rakyat sudah lupa PKP, ” katanya dalam sidang akhbar harian di sini hari ini.

Jelas beliau, keadaan itu dibuktikan apabila sebanyak 558,548 kenderaan telah diperiksa menerusi 813 sekatan jalan raya di seluruh negara semalam.

Ismail Sabri menambah, hasil operasi itu polis menahan seramai 1,315 individu yang ingkar PKP dengan 1,226 direman manakala 89 lagi diberikan jaminan polis.

“Semalam, turut menyaksikan seramai 312 individu telah didakwa di mahkamah.

“Jumlah kumulatif tangkapan bermula 18 Mac hingga semalam adalah seramai 11,017 individu,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas