Berita

135 panggilan keganasan rumah tangga diterima sepanjang PKP

HUBUNGI Talian Kasih 15999 jika dapati ada kes keganasan rumah tangga. - Gambar hiasan
- Diterbit 16 April 2020 8:24 AM MYT

PUTRAJAYA – Sebanyak 135 panggilan diterima Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menerusi talian Kasih berhubung keganasan rumah tangga sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Justeru Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyeru orang ramai terutamanya jiran tertangga membantu mengekang isu keganasan rumah tangga ini sepanjang tempoh PKP khususnya.

“Mungkin mangsa keganasan rumah tangga ada tidak berani buat aduan, telefon dirampas sehingga tiada ruang untuk membuat panggilan.

“Jadi apabila jiran terdengar sesuatu menghairankan di sebelah rumah mereka dan terus membuat aduan Talian Kasih 15999,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini hari ini.

Beliau menegaskan, aduan juga dilakukan menerusi aplikasi WhatsApp kepada pihak polis di talian 019 261 5999.

“Pihak polis akan menyiasat dan mengambil tindakan segera terhadap laporan yang dibuat itu,” ujarnya.

Dalam perkembangan berlainan, Ismail Sabri berkata, sebanyak 220 kertas siasatan (IP) berita palsu berkaitan Covid-19 telah dibuka oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan 152 kes dalam siasatan, 24 kes telah didakwa di mahkamah dan 13 individu mengaku bersalah.

“Kerajaan memandang serius berhubung berita palsu. Contohnya dua hari lepas ada pihak menyatakan PKP ketiga tidak diwartakan sedangkan jelas bahawa PKP ketiga diwartakan.

“Kononnya kerana tidak wartakan, jadi pihak polis tiada kuasa untuk buat tangkapan. Ini merupakan berita palsu dan tindakan akan diambil kepada penyebar berita palsu tersebut,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas