Berita

Azizulhasni akui cabaran getir di Olimpik 2020

AZIZULHASNI (kanan) bersama Fatehah Mustapa meraikan kejayaan mereka selepas merangkul pingat pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia Tenggara di Nilam, Jumaat lepas.
AZIZULHASNI (kanan) bersama Fatehah Mustapa meraikan kejayaan mereka selepas merangkul pingat pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia Tenggara di Nilam, Jumaat lepas.
- Diterbit 29 Ogos 2019 9:37 AM MYT

KUALA LUMPUR – Jaguh berbasikal trek negara, Mohd. Azizulhasni Awang mengakui berdepan laluan berliku untuk merangkul emas pertama temasya Olimpik di Jepun tahun hadapan.

Menurut pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu, ia adalah susulan daripada peningkatan prestasi pelumba-pelumba Eropah seperti di Belanda, Britain, Jerman dan Jepun pada beberapa perlumbaan besar seperti Kejuaraan Berbasikal Dunia tahun ini.

“Berdasarkan aksi di Kejuaraan Berbasikal Dunia tahun ini, pelumba Belanda berada pada prestasi terbaik dan berada selangkah di hadapan berbanding pelumba dari negara lain.

“Ini mungkin disebabkan mereka mempunyai tubuh badan yang besar. Sebagai contohnya Harrie Lavreysen dan Jeffrey Hoogland yang mendominasi acara pecut lelaki pada Kejuaraan Berbasikal Dunia.

“Apa yang saya nampak ialah mereka secara semula jadi memang kuat. Saiz otot mereka boleh dikatakan dua kali ganda daripada saya dan sebab itu mereka boleh berkayuh dengan menggunakan ‘gear’ yang lebih besar,” katanya.

Jaguh berbasikal negara itu turut menyertai kejohanan Berbasikal Trek Asia Tenggara di Nilai, Negeri Sembilan minggu lalu.

Jelas juara dunia keirin 2017 tersebut mengakui kem negara tidak mempunyai cara lain selain menambah kekuatan otot serta kaki sebelum menyertai kejohanan terbesar di dunia berkenaan.

“Kami sebagai pelumba perlu meningkatkan kekuatan kaki serta otot. Jika nak diikutkan sekarang ini, berat badan saya naik mendadak iaitu sebanyak 74 kilogram (kg).

“Saya akan cuba naikkan berat badan sehingga 75kg dan dua minggu sebelum ke Olimpik, saya akan menjalani latihan untuk membuang lemak bagi memastikan badan saya memiliki otot yang sempurna.

“Jika saya dapat melakukan perancangan yang teratur ini termasuk meningkatkan kelajuan, saya yakin kita boleh memberi tentangan sengit dengan pelumba lain,” jelasnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas