Berita

17, 353 peserta terlibat raptai penuh Hari Kebangsaan 2019

SUASANA sekitar raptai penuh sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-62 di Dataran Perbadanan Putrajaya. - FOTO:NAZIRUL ROSELAN
SUASANA sekitar raptai penuh sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-62 di Dataran Perbadanan Putrajaya. - FOTO:NAZIRUL ROSELAN
- Diterbit 29 Ogos 2019 6:30 AM MYT

PUTRAJAYA-Seramai 17,353 peserta mengambil bahagian di dalam raptai penuh sambutan Hari Kebangsaan 2019 yang merangkumi persembahan grafik manusia, persembahan padang dan perarakan yang diadakan di Dataran Putrajaya di sini, hari ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Datuk Suriani Ahmad, berkata beliau berpuas hati dengan semangat ditunjukkan peserta pada sesi raptai berkenaan.

“Raptai hari ini berjalan lancar dan baik, cuaca juga menyebelahi kita dan ia secara tidak langsung membolehkan kita dapat melihat aset udara yang dipertontonkan dengan jelas.

“Diharapkan ketika hari sebenar iaitu pada 31 Ogos ini kita dapat lakukan semua perkara seperti dirancang.

“Secara keseluruhannya saya berpuas hati kerana kita sudah berusaha yang terbaik,” katanya kepada pemberita selepas meninjau sesi raptai berkenaan di sini hari ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo dan Timbalannya, Eddin Syazlee Shith turut hadir menyaksikan raptai penuh tersebut yang berlangsung dari pukul 7.30 pagi sehingga 12 tengah hari

Kira-kira 1500 orang awam tidak melepaskan peluang menyaksikan perjalanan raptai tersebut.

Sementara itu, Suriani berkata, pada tahun ini persembahan grafik manusia adalah elemen baharu yang dibawa ke Putrajaya.

“Grafik manusia itu dijayakan oleh 4,300 pelajar Tingkatan Satu, Dua dan Empat daripada sekolah menengah seluruh Selangor dibawah seliaan Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negara (JKKN).

“Mereka ini berlatih sejak Julai lalu, tugas mereka sangat berat tapi apa yang diterjemahkan dan pembabitan mereka itu adalah rasa sayang dan patriotik mereka pada negara,” katanya.

Tambah Suriani lagi, sebanyak 221 aset darat serta 55 pesawat pengangkut dan pejuang turut mengambil bahagian di dalam sambutan tahun ini dan dijangka 300,000 orang akan hadir pada.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas