Berita

80 anak muda buat permohonan

rumah mikro
DATUK Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan menunjukkan contoh bilik di rumah mikro DBKL di Jalan TAR, Kuala Lumpur.
- Diterbit 29 Ogos 2019 4:30 PM MYT

KUALA LUMPUR – Perumahan Bandar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Jalan Tuan­ku Abdul Rahman (TAR) yang dikenali sebagai rumah mikro mendapat sambutan menggalakkan daripada golongan muda selepas pendaftaran secara atas talian dibuka pada 20 Ogos lalu.

Setakat ini, rumah berkonsepkan hotel kapsul yang menyasarkan individu bujang berpendapatan rendah (B40) itu menerima lebih 80 permohonan sewaan.

Dibina di atas bangunan sedia ada, rumah mikro yang menyediakan 200 bilik dengan kadar sewa RM100 sebulan itu diubah suai supaya lebih selesa dan memudahkan penghuninya.

Malah DBKL turut menyediakan kelengkapan seperti almari, katil dan tilam kepada penyewa selain beberapa kemudahan asas antaranya penyangkut basikal, bilik bacaan dan ruang riadah serta tempat meletakkan motosikal.

Tinjauan Wilayahku baru-baru ini, mendapati binaan rumah mikro sudah mencecah 80 peratus siap dan pemasangan almari dan katil sudah dilakukan.

Menurut Datuk Bandar Kuala Lumpur, Nor Hisham Ahmad Dahlan, permohonan untuk menyewa bilik tersebut boleh dilakukan melalui laman sesawang http://eperumahan.dbkl.gov.my.

“Kategori sewaan adalah mengikut bilangan katil yang disediakan di setiap bilik dan tingkat di dalam bangunan tersebut. Bilangan katil yang disediakan adalah empat dan enam katil bagi satu bilik.

“Kadar sewaan yang dikenakan adalah RM100 sebulan termasuk penggunaan elektrik dan air. Cagaran sewa yang diambil adalah untuk dua bulan dan tempoh penyewaan adalah 12 hingga 18 bulan,” katanya.

Perumahan Bandar DBKL diperkenalkan bagi membantu golongan bujang yang kurang berkemampuan khususnya mereka yang datang dari luar kawasan Lembah Klang termasuk Sabah dan Sarawak serta tidak mempunyai saudara-mara di Kuala Lumpur.

Ia juga merupakan sewaan bersifat sementara selaras dengan matlamat untuk menempatkan anak-anak muda yang baru memasuki alam pekerjaan serta belum berkahwin.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas