Atlet terjejas boleh dapat bantuan menerusi YAKEB – Wan Ahmad Fayhsal
ATLET negara yang terjejas boleh mendapatkan bantuan kesihatan dan makanan menerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) dan Majlis Sukan Negara (MSN). Foto - freemalaysiatoday

Atlet terjejas boleh dapat bantuan menerusi YAKEB – Wan Ahmad Fayhsal

TIMBALAN Menteri Belia dan Sukan Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata atlet negara boleh berhubung terus dengan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) dan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk mendapatkan bantuan kesihatan dan makanan.

Katanya mereka tidak perlu mendapatkan bantuan menerusi kempen #BenderaPutih untuk mengatasi masalah keperluan asas walaupun kempen itu bermatlamat baik.

Beliau yang ditemui selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Datuk Zainal Abidin Zin di Ipoh, Perak, berkata setakat ini beliau belum dimaklumkan mengenai atlet yang menghadapi masalah.

Dalam pada itu, suri rumah Noni Umpik, 57, dari Kuching, Sarawak yang menghadapi kesukaran hidup sejak suaminya kehilangan punca pendapatan, menggunakan kempen bendera putih untuk mendapatkan bantuan keperluan asas daripada beberapa individu.

Keadaan mereka semakin sukar sehinggakan bayaran sewa rumah di Jalan Foochow turut tertunggak, namun pemilik rumah yang memahami keadaan membenarkan mereka terus tinggal di rumah yang telah diduduki sejak 13 tahun lalu.

Salmiza Yusoff, 36, dari Kampung Gelang Mas, Pasir Mas, Kelantan berkata suaminya yang sebelum ini bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan gaji RM50 sehari, ‘curi-curi’ memasang bendera putih pada waktu malam.

“Perasaan malu itu ada, namun tiada pilihan dan terpaksa berbuat demikian untuk mendapatkan bantuan daripada jiran dan masyarakat setempat,” katanya.

Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor pula menggalakkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat swasta menunaikan tanggungjawab sosial masing-masing dan turut sama membantu golongan yang terjejas.

“Wakil-wakil rakyat sama ada di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pula perlu memainkan peranan sebagai penghubung di antara golongan yang memerlukan bantuan dengan pihak yang boleh menyumbang kerana kemungkinan mereka yang terjejas tidak tahu cara atau kaedah untuk memohon bantuan daripada pihak tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata golongan yang terjejas juga boleh mendapatkan bantuan sedia ada yang disalurkan oleh kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri masing-masing, selain bantuan daripada badan pengurusan zakat negeri.

Hari ini, peruntukan RM300,000 bagi program Bantuan Bakul Makanan untuk setiap ahli Parlimen menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), mula disalurkan kepada mereka. – BERNAMA

CATEGORIES