28 kes varian baharu virus SARS-COV-2 dikesan – KP Kesihatan
KETUA Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan berkata daripada 28 kes varian baharu itu, 18 kes merupakan varian Delta (B.1.617.2), lima varian Beta (B.1.351), tiga varian Kappa (B.1.617.1) dan dua varian Alpha (B.1.1.7).

28 kes varian baharu virus SARS-COV-2 dikesan – KP Kesihatan

SEBANYAK 28 kes varian baharu virus SARS-CoV-2 dengan 25 kes adalah Varian Yang Membimbangkan (VOC) manakala tiga kes Varian Yang Perlu Mendapat Perhatian (VOI) dilaporkan bagi tempoh 23 hingga 30 Jun lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan berkata daripada 28 kes varian baharu itu, 18 kes merupakan varian Delta (B.1.617.2), lima varian Beta (B.1.351), tiga varian Kappa (B.1.617.1) dan dua varian Alpha (B.1.1.7).

Dalam tempoh tersebut, beliau berkata varian Alpha (B.1.1.7) dikesan di Sabah dengan mencatatkan dua kes, varian Beta (B.1.351) di Pahang sebanyak dua kes, sementara masing-masing satu kes di Melaka, Terengganu dan Selangor.

Varian Delta (B.1.617.2) pula dikesan di Pahang dengan dua kes, Kuala Lumpur (empat), masing-masing tiga di Labuan dan Negeri Sembilan serta masing-masing dua kes di Sabah, Melaka dan Kedah. Varian Kappa (B.1.617.1) pula direkod di Johor dengan tiga kes, katanya.

Dr Noor Hisham berkata dengan perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes yang dijangkiti virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan VOI adalah sebanyak 217 kes.

“Daripada jumlah yang dikesan tersebut, 198 kes adalah VOC manakala 19 kes VOI,” katanya. – BERNAMA

CATEGORIES