Berita

IMPACT Malaysia tawar bantuan pengangkutan percuma kepada golongan rentan ke PPV

BANTUAN ini ditawarkan menerusi inisiatif #ImpactTolongHantar (ITH) khas untuk golongan rentan daripada kategori B40, Orang Asli, Orang Kurang Upaya (OKU) serta warga emas. Foto-
- Diterbit 1 Julai 2021 3:41 PM MYT

IMPACT Malaysia menawarkan bantuan pengangkutan percuma dalam bentuk perkhidmatan e-hailing Grab atau bantuan tunai kos pengangkutan peribadi kepada golongan memerlukan untuk ke pusat pemberian vaksin (PPV).

Menurut kenyataan Impact Malaysia hari ini,  bantuan itu ditawarkan menerusi inisiatif #ImpactTolongHantar (ITH) khas untuk golongan rentan daripada kategori B40, Orang Asli, Orang Kurang Upaya (OKU) serta warga emas.

Khidmat sukarelawan turut ditawarkan menerusi inisiatif ITH itu untuk warga emas, OKU dan golongan yang memerlukan khidmat ini secara percuma, menurut kenyataan tersebut.

Inisiatif ITH yang memasuki edisi ketiga itu bermula sejak 23 Jun lepas sehingga tamat program pemberian vaksin kelak, dan orang ramai boleh membuat permohonan secara dalam talian di pautan bit.ly/ithvaksin.

Impact Malaysia yang merupakan agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan, berkata inisiatif ITH kali ini dijalankan dengan kerjasama Impact Youth, kolektif sukarelawan Impact Malaysia yang dianggotai oleh sukarelawan berusia 18 hingga 35 tahun di seluruh Malaysia.

Selain menyelaras program ITH, sukarelawan Impact Youth juga membantu kumpulan sasaran membuat pendaftaran vaksinasi melalui aplikasi MySejahtera, menyelaras edaran bantuan set barangan asas untuk isi rumah yang memerlukan dan bekerjasama dengan komuniti untuk membantu golongan memerlukan.

Untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif ITH tersebut, Impact Youth dan program kelolaannya, mereka yang berkenaan boleh melayari www.impact.my atau mengikuti laman media sosial Impact Malaysia. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas