Berita

Atlet semarakkan sambutan Hari Kebangsaan ke-63

AHMAD SHAPAWI (lima kiri) bersemangat mengibarkan jalur gemilang.
- Diterbit 24 Ogos 2020 9:28 AM MYT

MENJELANG sambutan sambutan Hari Kebangsaan ke-63, Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil mengadakan majlis penyerahan jalur gemilang kepada atlet negara serta anggota MSN berlangsung di ibu pejabat MSN.

Ia bertujuan menyemarakkan lagi suasana sambutan hari bersejarah tersebut disamping menyuburkan semangat sayangkan negara dalam diri para atlet.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, selari dengan semangat kemerdekaan, semangat tersebut perlu dipamerkan dengan mengibarkan jalur gemilang sekerap mungkin.

“Kita juga minta semua atlet serta anggota MSN melekatkan bendera Malaysia di kenderaan masing-masing,” ujar beliau.

Tambah Ahmad Shapawi, walaupun sambutan tahun ini diadakan secara sederhana berikutan penularan wabak COVID-19 serta prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan namun semangat yang dipamerkan amat bermakna.

Dalam majlis yang berlangsung secara ringkas itu, beliau menyerahkan bendera kepada beberapa atlet negara antaranya, atlet karate, R. Sharmendran, atlet skuasy, Aina Azman dan tidak ketinggalan atlet para olahraga negara, Ziyad Zolkefli dan juga atlet para basikal, Cheah Liek Hou.

Dalam pada itu, rata-rata atlet negara yang ditemui mengakui program tersebut amat bermakna dan memberikan semangat kepada mereka.

“Saya akan terus berlatih dan mengharumkan nama negara dan menjadi atlet terbaik di dunia,” ujar Ziyad Zolkefli. -WILAYAHKU/MUHAMAD NIZAM

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas